15 Tempat Menarik Di Kelantan Yang Best Untuk Korang Jalan-Jalan Tahun Ni!

JALAN-JALAN
June 19, 2020 - 02:14 PM


Siapa yang belum pernah menjejakkan kaki ke Kelantan, mungkin untuk Cuti-Cuti Malaysia pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, anda boleh bercuti ke sana.

Kenapa Kelantan?

Sebab negeri yang terletak di Pantai Timur itu mempunyai banyak tarikan seperti lokasi membeli-belah dan pasar-pasarnya yang murah, pantai yang indah untuk menenangkan fikiran, muzium dan pusat kesenian bagi melihat sendiri budaya tradisional masyarakat Kelantan serta menyantuni masjid-masjid yang terkenal di negeri itu yang mempunyai seni bina unik dan mempesonakan.

Jom kita lihat senarai tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika bercuti ke Kelantan :-

1) PANTAI NAMI / PANTAI SENOK

Pantai ini pernah menjadi viral di media sosial kerana lanskapnya yang tak ubah seperti dalam filem terkenal Winter Sonata, dengan deretan pokok rhu yang tinggi dan tersusun indah persis di Pulau Nami, Korea Selatan.

Sebab itu, walaupun nama sebenar pantai ini adalah Pantai Senok namun orang lebih mengenalinya dengan panggilan Pantai Nami Bachok, Kelantan!

Selain boleh bersantai di tepian pantai dengan hembusan angin yang cukup mendamaikan, anda juga boleh menikmati hidangan ringan yang dijual oleh beberapa penjaja di sekitar pantai tersebut.

Waktu terbaik untuk ke pantai ini adalah antara bulan April sehingga September untuk mengelakkan hari hujan yang kebiasaannya berlaku antara bulan November hingga Februari.

Artikel berkaitan: 'Pulau Nami Malaysia' Terus Diperindah Dengan Tambahan 1,600 Pokok Rhu

2) PASAR TERAPUNG PULAU SURI

Nak rasa pengalaman jalan-jalan cari makan di pasar terapung atau floating market seperti di negara jiran, Thailand?

Anda boleh merasainya jika berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri yang mula dibuka sejak 17 September 2016.

Untuk menuju ke kawasan pasar terapung ini, bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan bot yang disediakan adalah antara RM3 ke RM10 mengikut jenis bot yang ditawarkan di Jeti Kuala Besar.

Berlokasi di Kampung Pulau Suri, sambil membeli-belah pelbagai juadah tradisional yang diniagakan di atas sampan dan bot, anda turut dapat menikmati panorama indah di sekitar yang sungguh mendamaikan jiwa.

Artikel berkaitan: Lokan Bakar Cheese Tarikan Baharu Pasar Terapung Pulau Suri, Kelantan

3) STREET ART KOTA BHARU

Kredit: Nurmujahidah

Jika anda mencari lokasi untuk bergambar menarik, anda boleh pergi ke Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu kerana di sana terdapat lorong yang dinamakan 'Street Art'!

Terdapat banyak lukisan murah yang cantik dan kreatif yang boleh anda abadikan sebagai background gambar kenangan anda bercuti ke Kelantan.

Namun yang paling menarik adalah mural bentangan permaidani di atas lantai lorong Street Art ini. Memang unik untuk dijadikan lokasi OOTD anda.

4) MASJID AR-RAHMAN

Jika ke negeri lain di dalam Malaysia, banyak masjid cantik yang boleh anda singgah.

Tapi uniknya jika anda singgah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang ini, anda berpeluang untuk melihat masjid yang bukan sahaja cantik, malah mempunyai seni bina yang 'rare' dan sangat mempesonakan!

Salah satu masjid yang wajib dan rugi jika anda tak singgah adalah Masjid Ar-Rahman yang terletak di Pulau Gajah.

Masjid yang didirikan di atas tanah wakaf ini adalah sebuah masjid yang dibina dengan menggunakan bahan yang kukuh seperti kayu jati dan cengal dengan gabungan seni bina nusantara Indonesia, Turki, Yemen dan Melayu Kelantan sendiri.

Jika dilihat perinciannya, anda dapat melihat ukiran ayat al-Quran pada kayu yang terletak di bahagian atas masjid. Perhiasan dalamannya juga banyak diimport daripada luar negara seperti batang pokok tamar dari Timur Tengah yang menghiasi ruang mimbar.

Tidak cukup dengan kehalusan seni binaan luar dan dalamnya, masjid ini turut dikelilingi tasik indah yang membuatkan ia kelihatan seolah-olah terapung dan jangan lupa untuk bergambar di batu-batu besar yang juga mempunyai ukiran ayat-ayat suci Al-Quran yang jarang ditemui di tempat lain.

Artikel berkaitan: Wow! Perincian Masjid Ar-Rahman Ni Confirm Buat Korang Terpukau

5) ZON BEBAS CUKAI RANTAU PANJANG​

Tiada yang lebih menyeronokkan daripada bershopping dengan harga yang kaw-kaw murah!

Di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, anda boleh menemui bermacam barangan seperti pinggan mangkuk, pakaian sukan, aksesori, tudung, toto, kasut, permainan kanak-kanak dan sebagainya.

Disebabkan jualan murah dan barangan yang tak terkira banyaknya ini, Rantau Panjang menjadi antara destinasi yang paling sibuk di Kelantan dengan waktu kemuncak antara 11 pagi ke 4 petang.

Dah puas shopping, bolehlah singgah ke mana-mana kedai makan yang berselerak di sekitar. Dari masakan tempatan hinggalah Thailand, semua boleh buat anda kecur mulut!

6) MASJID KAMPUNG LAUT

Tercari-cari masjid yang kaya dengan nilai sejarahnya sendiri? Jangan lupa singgah ke Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

Dibina tanpa menggunakan walau sebatang paku, masjid ini pada asalnya dibina pada sekitar tahun 1730-an oleh sekumpulan mubaligh, namun ia telah dialihkan daripada kedudukan asalnya iaitu di Kampung Laut, Tumpat setelah berlakunya banjir besar tetapi tidak menjejaskan langsung struktur asal masjid itu yang kekal utuh hingga ke hari ini.

7) MUZIUM WAU

Bila singgah ke Muzium Wau, baru anda tahu sebenarnya wau ini bukan hanya wujud di negeri-negeri pantai timur, tapi hampir seluruh negeri di Malaysia dan masing-masing memiliki keunikan yang tersendiri.

Antara jenis wau yang dapat dilihat dipamerkan di sini adalah Wau Kenyalang (Sarawak), Wau Puyuh (Kelantan), Wau Kikik (Melaka), Wau Seri Bulan (Perak), Wau Helang (Perlis dan Terengganu) dan banyak lagi.

Turut dipamerkan di sini adalah wau yang didatangkan dari negara lain seperti Kemboja, Jepun dan Thailand.

Kalau bernasib baik, anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi pembuatan wau daripada pembuat wau yang mahir.

8) MASJID TERAPUNG PASIR MAS / MASJID BRUNEI 

Masjid Brunei yang turut digelar sebagai Masjid Terapung Pasir Mas adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 1970-an sebagai lambang persahabatan antara bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed bin Nasir dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada ketika itu.

Terletak di tepian Tasik Danau Tok Uban, pemandangan yang dapat disaksikan setibanya anda di sekitar kawasan masjid ini sungguh mempesonakan.

Seri masjid ini ditambah lagi dengan seni binanya yang begitu indah dengan ilham daripada Asia Barat dan Melayu Brunei klasik serta warnanya yang putih bersih.

9)  PASAR TANI TERAPUNG PENGKALAN DATU

Ya, bukan satu tapi sebenarnya ada 2 buah pasar terapung di Kelantan, masih terfikir-fikir lagi nak bercuti ke Kelantan atau tidak? Pasar terapung seterusnya ini adalah Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu.

Di sini, anda dapat menemui pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan dan makanan moden lain dengan harga yang sangat berpatutan.

Selain dapat makan-makan dengan pemandangan sungai yang tenang, anda juga boleh bergambar berlatar belakangkan deretan sampan-sampan peniaga di sini.

Artikel berkaitan: Tak Perlu Lagi Ke Negara Jiran Cari Pasar Terapung, Kelantan Pun Ada 2 ‘Floating Market’!

10) MENARA JAM TAMBATAN DIRAJA

Menara Jam Tambatan Diraja adalah sebuah tarikan berketinggian 150 kaki yang dibuka kepada orang awam untuk menyaksikan pemandangan dari udara bandar Kota Bharu serta Sungai Kelantan.

Lokasinya, terletak berdekatan dengan Padang Merdeka dan jika ke sini anda juga boleh menyewa teropong yang disediakan untuk melihat dengan lebih jelas pemandangan dari aras tertinggi menara.

11)  JAMBATAN KERETAPI GUILLEMARD

Jambatan yang diperbuat daripada besi, Jambatan Keretapi Guillemard adalah sebuah jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia.

Dibina pada tahun 1920 dan siap pada bulan Julai 1924, jambatan ini merentasi Sungai Kelantan iaitu dari Paloh Rawa, Machang sehinggalah ke Kursial di Tanah Merah. Ia terletak di Jalan Kampung Kursial, Tanah Merah, Kelantan.

Jambatan sepanjang 609.6 meter ini pernah hancur diletupkan oleh tentera British untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.

Namun, sebaik tamat Perang Dunia Kedua, jambatan ini diperbaiki dan dibuka semula pada tahun 1948.

Kenapa anda perlu datang ke sini?

Bukan hanya kerana statusnya sebagai jambatan keretapi terpanjang di Malaysia, tapi juga kerana warna hitam jambatan ini yang membangkitkan aura klasik, cukup menarik untuk dijadikan subjek atau latar belakang foto anda.

12) PANTAI CAHAYA BULAN

Jika pada waktu petang anda ingin menikmati pemandangan matahari terbenam yang cantik di Kelantan, anda boleh singgah ke Pantai Cahaya Bulan atau PCB.

Bersantai di tepian pantai akan lebih menyeronokkan apabila anda dapat menikmati jagung rebus yang banyak dijual sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke pantai ini. Dah puas makan jagung, boleh rasa ‘colek’ atau air kelapa yang dijual di tepi pantai pula, baru terasa nikmat bersantai di tepi pantai yang indah ni.

Anak-anak juga boleh bermain layang-layang yang turut dijual di sini. Kemudahan seperti surau dan tandas awam tersedia untuk orang kegunaan orang ramai.

13)  MUZIUM DIRAJA ISTANA BATU

Dibina pada tahun 1939 oleh Sultan Ismail I untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya Yahya Petra sempena perkahwinannya dengan Raja Perempuan Zainab II. Digunakan sebagai tempat bersemayan Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960.

Muzium Diraja Istana Batu ini merupakan destinasi yang perlu dilawati untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang keluarga Diraja negeri Kelantan dan bagaimana suasana di dalam istana yang pernah menjadi tempat kediaman kerabat Diraja pada zaman dahulu.

Terletak tidak jauh dari muzium ini adalah Masjid Muhammadi Masjid Negeri dan Istana Balai Besar Kampung Kraftangan.

14) KOTA SULTAN ISMAIL PETRA

Anda takkan dikatakan bercuti ke Kelantan sekiranya tidak menjejakkan kaki ke pintu gerbang yang menjadi ikonik Kelantan ini iaitu Kota Sultan Ismail Petra.

Selain bergambar di berlatar belakangkan Menara Rehal ini, anda juga boleh melawat monumen-monumen bersejarah yang ada di sekitar kota ini seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar.

Anda boleh berjalan kaki di sekitar kota ini untuk melawat kesemua lokasi-lokasi bersejarah di sini.

Lokasi lain yang patut anda sekeluarga lawati juga kalau ke kota ini adalah seperti Muzium Diraja, Masjid Muhammadi dan Kampung Kraftangan.

15) PASAR SITI KHADIJAH

Siapa tak kenal pasar yang popular di Kelantan ni, di sinilah syurga membeli-belah untuk wanita!

Bermacam-macam benda yang dijual di Pasar Siti Khadijah ini -- dari barangan kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman, permainan dan macam-macam lagi.

Bukan itu saja malah pelbagai jenis makanan seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan lain-lain juga ada di sini.

Konsep beli-belah di sini, lagi banyak anda borong lagi murah harga yang akan anda dapat!

Dah penat shopping, anda boleh menjamu selera pula di medan selera yang terdapat di tingkat satu bangunan ini.

Menu yang wajib anda pekena tentunya laksam, nasi kerabu, mee celup, nasi atau mee sup perut, pergh semua sedap-sedap, mesti puas punyalah!

Selain 15 lokasi menarik yang disenaraikan ini, berikut juga antara destinasi lain yang boleh anda pilih sekiranya datang bercuti ke Kelantan :-

Untuk jalan-jalan cari makan di Kelantan korang boleh baca senarainya di sini:

10 Tempat Makan Menarik Jika Anda Bercuti Ke Kelantan Pada Musim PKPP Ini

- 44 Senarai Tempat Makan Menarik di Negeri Kelantan

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah