Siapa Kata Tioman Hanya Ada Aktiviti Pantai? Lepas PKP Jom Jalan-Jalan Masuk Hutan Dia Pula!

JALAN-JALAN
April 21, 2020 - 07:14 PM


Sebut sahaja Pulau Tioman, bayangan pastinya pasir pantai yang berwarna putih selain lautnya biru kehijauan.

Secara semula jadi naluri kebanyakan orang memikirkan aktiviti skuba, snorkeling mahupun ‘bersidai’ di tepi pantai untuk menikmati pemandangan senja apabila berada di destinasi ini.

Sedangkan pulau yang terletak 32 batu nautika dari daratan tanah besar itu turut menawarkan pengembaraan hutan hujan tropika tidak kurang menariknya termasuk port menyaksikan flora fauna yang unik.

Eksplorasi terbaru mesti dicuba pengunjung selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pengalaman merentas hutan antara denai menghubungkan Kampung Tekek dan Kampung Juara.

Kampung Tekek yang terletak di bahagian paling utara pulau itu adalah nadi kepada semua aktiviti membabitkan kegiatan ekonomi di destinasi terbabit.

Tidak sukar untuk memahami senario itu apabila kampung paling besar di Pulau Tioman dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti bank, klinik, kompleks jeti, pasar kecil tidak terkecuali lapangan terbang.

Berbalik kepada aktiviti merentas desa di Kampung Tekek, laluan denai boleh ditelusuri pengunjung ke Kampung Juara.

Anda boleh menyewa kenderaan pacuan empat roda tetapi untuk menikmati pemandangan kehijauan sekitar pulau sebaiknya dengan merentas hutan.

Bagi mengelak masalah bagi mereka yang pertama kali melalui laluan belukar itu sebaiknya gunakan perkhidmatan pemandu pelancong tempatan kerana mereka lebih arif.

Pemandu pelancong tempatan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Pak Lan berkata, hutan itu menjadi habitat pelbagai spesies cicak gergasi.

Atas faktor itu, ia menjadi tarikan pengunjung seluruh dunia untuk bergambar dengan spesies cicak bukan sahaja memiliki warna cantik malah boleh terbang ke pokok-pokok.

Jika bernasib baik spesies haiwan lain yang boleh ditemui ialah tupai gergasi, monyet ekor panjang dan pelanduk selain spesies bunga terbesar rafflesia.

Perjalanan merentas hutan biasanya memakan masa setengah hari bagi perjalanan sekitar empat kilometer termasuk persinggahan ke destinasi air terjun Kampung Juara untuk bermandi-manda.

Persiapan bagi menyertai aktiviti terbabit perlu mengenakan pakaian sesuai lengkap berkasut. Bekalan lain ialah baju persalinan untuk mandi selain air dan kudapan untuk mengalas perut sepanjang perjalanan.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: Swiss Cottage & Visit Malaysia

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah