Ice Cafe, Pulau Pinang : Nikmati Suasana Menjamu Selera Seperti Berada Di Kutub Utara
MAKANDecember 21, 2021 - 04:48 PM
Bagi mereka yang tidak pernah merasai suasana musim salji, anda tidak perlu kecewa kerana kita masih belum dibenarkan untuk melancong ke luar negara disebabkan penularan pandemik yang masih membimbangkan.
Untuk mengubati kekecewaan tersebut apa kata anda berkunjung sahaja ke sebuah kafe di Pulau Pinang, di mana anda berpeluang merasai sendiri kedinginan musim salji ala Eropah dengan suhu mencapai 10 darjah Celsius.
Inilah keunikan Ice Cafe di Lebuh Victoria di George Town, di mana ia bukan sekadar ais pada nama atau papan tanda semata-mata -- tetapi ais merupakan konsep dan tema kafe itu.
Tema unik berkonsepkan ais yang ditawarkan di kafe tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Jika berkunjung ke sini anda dapat menikmati pelbagai sajian hidangan bertemankan pemandangan seolah-olah sedang berada di Kutub Utara.
“Dengan suhu 10 darjah Celsius, pengunjung berpeluang merasai pelbagai menu pencuci mulut seperti aiskrim, buah-buahan serta kek lazat yang disajikan oleh kafe tersebut. Malahan, menu yang ditampilkan punya cita rasa tersendiri.
“Kita mahu pelanggan bukan sahaja rasa sejuk, tetapi suasana persekitarannya juga sejuk seperti ala ‘frozen’. Jika kita lihat dalam kafe ini, ada salji. Jadi kita mahu bawa konsep itu," kata Pengurus Pembangunan Perniagaan Ice Cafe, Hazlami Rosli .
MAKANAN TRADISIONAL ANTARA MENU ICE CAFE
"Istimewanya di sini menunya adalah lain dari yang lain. Kami mencipta sendiri menu tersebut. Kami cuba mengetengahkan makanan-makanan tradisional dan makanan lazim di Pulau Pinang seperti aiskrim kandar.
Selalu di Pulau Pinang terkenal dengan nasi kandar, di sini kami pamerkan aiskrim kandar di mana rencahnya lebih kurang sama dengan nasi kandar tetapi versi aiskrim.
"Begitu juga dengan kiwi grape di mana mangkuk hidangan kita buat daripada ais, betul-betul ais, itu keistimewaan Ice Cafe yang tiada di tempat lain," katanya yang bakal memperkenalkan menu terbaru iaitu ais krim tom yam.
Selain dapat menikmati pelbagai juadah enak, pengunjung Ice Cafe juga berpeluang merakam gambar dan detik indah di dalam kafe yang persekitarannya bersuasanakan kiub ais dan salji.
Pada masa akan datang, Ice Cafe turut merancang untuk membuka kafe bertemakan konsep sama di Kuala Lumpur atau Melaka.
Sumber: Bernama & Kredit Gambar: FB Places Malaysia
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah