Top 5 Kafe Unik Pilihan Rileklah Untuk Tahun 2020
MAKANDecember 30, 2020 - 05:28 PM
Meskipun tahun 2020, kita dilanda dengan penularan pandemik COVID-19 hingga memaksa pelbagai aktiviti ekonomi dan perniagaan dihentikan -- namun semua itu tidak memaksa golongan pengusaha kafe atau tempat makan tampil dengan idea kreatif untuk bangkit memajukan bisnes mereka.
Selepas mendapat sedikit kelonggaran daripada Kerajaan untuk beroperasi dengan beberapa SOP yang ditetapkan, pemilik kafe nampaknya boleh menarik nafas lega apabila premis makanan dan minuman mereka kembali mendapat kunjungan daripada pelanggan.
Malah, disebabkan trend bekerja dari rumah juga membuatkan ramai yang gemar memilih kafe sebagai lokasi mereka menyelesaikan pelbagai kerja-kerja harian sambil menikmati secawan kopi bersama hidangan untuk mengisi perut.
Jom kita tengok senarai 5 kafe yang paling mendapat sambutan dari segi angka perkongsian dan likes di Rileklah sepanjang tahun 2020 ini.
1 – BELAGOANGIN, Kg Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu.
(4.4K shares & 872 likes)
Ini antara tempat makan di Terengganu yang menjadi hit di Rileklah apabila telah dikongsi hampir 4,500 kali dan mendapat 872 likes serta 2,000 komen yang sukakan konsep restoran ini yang unik!
Istimewa restoran yang dinamakan Belagoangin ini adalah pengunjung berpeluang menjamu selera di tepi sawah padi yang menghijau dan beratapkan rumbia.
Lagi best apabila di sini pelayan-pelayan mereka membawa hidangan lauk-pauk kampung menggunakan dulang buluh macam zaman dulu-dulu. Mana nak tengok suasana desa begitu pada zaman moden sekarang ni, kan...
2 - SIPPING CORNER @ PLANT & POT STUDIO, Ampang & Puchong, Selangor.
(1K shares & 273 likes)
Kafe yang berkonsepkan 2-in-1 ini juga tidak kurang hebatnya dalam meraih perhatian daripada pembaca Rileklah apabila telah dikongsikan sebanyak 1,000 kali dan mendapat 273 likes.
Jika dilihat dari luaran mungkin ramai yang menyangka Plant & Pot Studio ini adalah sebuah nurseri yang menjual pokok-pokok hiasan rumah -- namun siapa sangka rupanya di dalamnya juga terdapat sebuah kafe yang best untuk pelanggan menikmati secawan kopi bersama sepotong kek yang lazat!
Ibarat 'permata tersembunyi' di sebalik rimbunan pokok yang menghijau membuatkan kafe ini sering menjadi pilihan bagi mereka yang gemarkan sebuah tempat mendamaikan untuk bersantai sambil bergambar OOTD untuk dimuatnaik dalam media sosial masing-masing.
3 - BBQ LAMB KL KEMENSAH, Belakang Zoo Negara
(736 shares & 258 likes)
Siapa sangka konsep makan di dalam sungai & di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur juga nampakya menggamit kunjungan pelanggan yang bertali-arus hingga menjadi trending di media sosial.
Selain mempunyai pelbagai hidangan kambing dan makanan laut yang cukup menyelerakan -- idea kreatif untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman makan sambil kaki boleh bermain-main dengan air sungai membuatkan ramai teruja mengunjungi BBQ Lamb KL di Kemensah belakang Zoo Negara.
Malah, posting mengenai tempat makan istimewa ini juga turut hit sepanjang tahun 2020 di Rileklah apabila telah mendapat 736 shares dan 258 likes.
4 - KOPI HUTAN, Bukit Bendera, Pulau Pinang.
(272 shares & 336 likes)
Rakyat Malaysia sememangnya terbukti gemarkan sebuah tempat makan dan kafe berkonsepkan 'rare' yang bagi mereka sangat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga mahupun rakan-rakan.
Jadi tak hairanlah jika "Kafe Tertinggi Di Penang" ini yang terletak di tengah-tengah hutan di atas Bukit Bendera menjadi pilihan orang ramai untuk bersantai hirup udara segar sambil menghirup secawan kopi panas.
Idea sempoi yang diketengahkan oleh Kopi Hutan ini nyata mendapat sambutan hangat daripada pembaca Rileklah apabila telah dikongsikan 272 kali dan mendapat 336 likes.
5 - TIDOFISH, Ipoh, Perak.
(83 shares & 116 likes)
Ini satu lagi kafe yang menampilkan sebuah konsep unik yang telah mendapat perhatian ramai netizen di media sosial apabila posting mengenainya telah mendapat 116 likes dan dikongsikan sebanyak 83 kali.
Tidofish yang berkonsepkan kafe 'Glow In The Dark' ini nyata mendapat sambutan hangat daripada pengunjung untuk ke Ipoh yang sememangnya menjadi destinasi jalan-jalan cari makan bagi rakyat Malaysia setiap kali cuti hujung minggu.
Meskipun kafe ini baru sahaja dibuka pada 15 Oktober lepas, namun popularitinya semakin meningkat lebih-lebih lagi apabila mereka turut menghidangkan menu citarasa orang Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah