Angkara Pandemik, 23 Agensi Pelancongan Di Langkawi Terpaksa 'Gulung Tikar'

VIRAL
May 04, 2021 - 05:08 PM


Lagi berita yang menyedihkan melanda industri pelancongan domestik gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Kali ini sebanyak 23 agensi pelancongan di Pulau Langkawi menerima tempias apabila terpaksa menutup operasi dengan tidak memperbaharui lesen pengendali pelancongan mereka susulan industri tersebut semakin suram berikutan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, tindakan kerajaan menguatkuasakan larangan rentas ne­geri sejak Januari lalu lalu turut meng­akibatkan kehadiran pelancong merosot dan agensi pelancongan terbabit mengalami kerugian.

Malah, katanya, industri pe­lancongan di pulau peranginan ini lebih tenat selepas pelaksa­naan PKP di lima daerah di ne­geri ini yang berkuasa sejak 1 Mei lalu.

“Sepanjang tempoh larangan rentas negeri berkuat kuasa, sebahagian besar pelancong di pulau ini merupakan penduduk di negeri ini sahaja.

“Namun, jumlah pelancong terus merosot selepas lima da­erah di negeri ini pula dikenakan perintah PKP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lima daerah terlibat dengan PKP itu ialah Alor Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Zainudin memberitahu, setakat ini, sebanyak 113 agensi pelancongan yang masih kekal bertahan walaupun dalam ke­adaan tenat.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau percaya lebih banyak agensi pelancongan itu akan menutup operasi sekiranya PKP dilanjutkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Keadaan lebih parah sekiranya agensi terbabit tidak mendapat sebarang bantuan kewa­ngan pada sepanjang tempoh pandemik ini.

“Malah kesemua agensi yang telah ditutup itu didapati tidak mendapat bantuan geran bantuan khas kepada agensi pelancongan berjumlah RM3,000 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya.


Sumber: UTUSAN MALAYSIA

 

 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah