Malaysia Beri Dos Ketiga Bermula Oktober, Sarawak Jadi Negeri Pertama!
VIRALSeptember 27, 2021 - 03:32 PM
Bermula Oktober ini, Malaysia bakal memulakan pemberian vaksin dos ketiga atau dos penggalak, manakala Sarawak menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.
Sementara itu, Sarawak dipilih untuk memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.
“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” kata Khairy.
Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan perintah pemantauan di rumah.
“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya.
Beliau berkata dalam aspek meningkatkan kapasiti kesihatan untuk tindak balas sekiranya berlaku peningkatan kes-kes yang serius, KKM akan menghantar sejumlah 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen ke Sarawak, yang dijangka tiba pada Selasa ini.
“KKM juga akan menambah modular unit rawatan rapi (ICU) dengan penambahan sebanyak 20 katil. Ketika ini 10 katil sedang disiapkan di Hospital Sibu dan kita serah kepada kerajaan negeri untuk tetapkan di mana mereka mahu menempatkan penambahan katil baru itu,” katanya.
Khairy berkata pihaknya turut menerima permohonan daripada kerajaan Sarawak untuk mendirikan Hospital Medan di Sibu dan secara prinsip pihaknya telah bersetuju serta akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia mengenainya.
Selain itu katanya 64 pegawai perubatan tambahan akan diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak bagi membantu pengurusan kes Covid-19.
Sumber: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah