November Ini Harga Tiket Penerbangan Akan Kembali Normal

VIRAL
July 21, 2020 - 03:09 PM


Menjelang bulan November ini, harga tiket penerbangan dijangka akan kembali normal kepada harga purata pada tahun 2019 selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan dengan kapasiti sebenar.

Perkara itu diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berdasarkan analisa yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menurut syarikat penerbangan, walaupun kerajaan telah memutuskan memberi pengecualian arahan jarakan sosial di dalam pesawat, tiket penerbangan tidak semestinya akan turun dengan serta merta.

Syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil, sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal, seperti sebelum wabak COVID-19.

Berdasarkan pemantauan MAVCOM bagi tempoh di antara 2 Jun hingga 8 Julai lepas mendapati harga tambang penerbangan terutama dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah pun menunjukkan trend penurunan berbanding pada Mei lepas. 

Bagi perjalanan bagi bulan Julai 2020 pula, MAVCOM mendapati harga tambang terus menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata, yang ditawarkan pada tahun 2019.

Sebagai contoh, harga tiket bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching untuk sehala ialah antara RM200 hingga RM400, jika dibandingkan dengan harga yang telah dikenakan pada bulan Jun 2020 iaitu melebihi RM1,000.

MAVCOM juga telah diarahkan untuk melaksanakan pemantauan kadar tambang yang dikenakan syarikat penerbangan secara berterusan serta mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif.

Sumber: Bernama

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah