Semua Aktiviti Surau, Masjid Ditangguh Hingga 31 Mei, Bermakna Tiada Tarawih & Solat Sunat Aidilfitri Untuk Rakyat Selangor Tahun Ini
VIRALApril 14, 2020 - 01:52 PM
Bagi memastikan 6.5 juta penduduk Selangor tidak terdedah kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 --Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan SEMUA aktiviti seperti solat Jumaat, solat berjemaah, kuliah dan ceramah di SEMUA masjid serta surau di seluruh negeri itu DILANJUTKAN PENANGGUHANNYA SEHINGGA 31 MEI DEPAN.
Ia juga bermakna, tahun ini seluruh rakyat Selangor berkemungkinan tidak berpeluang menunaikan Solat Tarawih dan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah di masjid dan surau berdekatan rumah mereka.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata walaupun berat hati, titah baginda itu adalah demi kesejahteraan rakyat di Selangor.
“Justeru, baginda menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.
“Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah supaya solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur dan solat fardu serta solat sunat tarawih pada Ramadan tahun ini dilakukan di rumah masing-masing.
“Baginda menegaskan adalah sangat penting supaya semua perkara itu dipatuhi bagi mengelak rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.
Sehingga 13 April, Selangor kekal berada di tangga teratas paling banyak kes positif COVID-19 berjumlah 1,249 dengan 13 kes kematian.
Ia disusuli oleh Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Sumber: Berita Harian
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah