Pulau Rusukan Besar - 'Hidden Gem' Labuan
TARIKANOctober 04, 2019 - 12:03 PM
Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya Labuan memiliki sebuah permata tersembunyi iaitu Pulau Rusukan Besar yang semakin mendapat perhatian daripada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Mungkin ada juga antara korang menyangka Labuan hanya sekadar bandar pelabuhan yang tidak mempunyai destinasi percutian pulau, sedangkan ia memiliki beberapa gugusan pulau yang sangat indah lengkap dengan hidupan marin yang belum terusik.
Antaranya Pulau Rusukan Kecil, Pulau Kuraman dan Pulau Burong.
Malah korang jangan terkejut kalau sebenarnya Labuan memiliki 4 tapak selaman kapal karam atau 'ship wreck' yang terbaik di benua Asia!
Kapal itu terdiri daripada 3 buah kapal kargo dan sebuah kapal perang yang ditenggelamkan pada kedalaman 30-32 meter atau100 kaki.
Nama-nama tapak selaman kapal karam itu adalah:
- Blue Water Wreck
- Cement Wreck
- American Wreck
- Australian Wreck
Jika ke Labuan korang wajib kunjungi Pulau Rusukan Besar atau 'Untouched Wonderland'!
Kalau berkunjung ke pulau ini, korang boleh memilih sama ada untuk day-trip atau bermalam di chalet yang disediakan.
Berikut adalah senarai harga:
1) DAY-TRIP = RM195 untuk warganegara (bot transfer, peralatan snorkeling, lunch, marine fee)
= RM220 untuk warga asing
2) MENGINAP 1 MALAM = RM380 (penginapan bilik berhawa dingin, peralatan snorkeling, island hopping ke Pulau Rusukan Kecil & Pulau Kuraman serta 5 kali makan)
Untuk ke Pulau Rusukan Besar ini, korang kena menaiki bot penumpang di jeti Labuan Marina dan perjalanan mengambil tempoh kira-kira setengah jam sahaja untuk tiba di jeti pulau berkenaan.
Setibanya di jeti tersebut, korang pasti terpesona dengan kejernihan air laut bak kristal yang berwarna biru kehijauan dan mesti ramai juga yang tak sabar untuk menaiki buaian Pulau Rusukan Besar bagi bergambar kenang-kenangan.
Di pulau itu ada disediakan tandas dan bilik untuk menukar pakaian yang bersih dan besar serta sewaan tuala yang berharga RM10 sehelai untuk kegunaan para pengunjung.
Selepas mendapatkan jaket keselamatan dan peralatan snorkeling, korang boleh terus terjun ke laut untuk menerokai hidupan marinnya yang terdiri daripada pelbagai jenis batu karang unik yang masih belum terusik.
Memang cantik!!!
Kesemua 4 buah pulau di Labuan ini iaitu Rusukan Besar, Rusukan Kecil, Kuraman dan Pulau Burong telah digazetkan sebagai Taman Marin serta tidak dibenarkan sebarang aktiviti memancing atau menangkap hidupan laut di sana bagi memelihara ekosistem semulajadinya.
Selain berenang, snorkeling dan bersantai-santai di tepian pantai, di Pulau Rusukan Besar ini juga korang boleh melawat Kawasan Konservasi Penyu -- yang mana tahun ini sahaja terdapat 500 anak penyu yang dilepaskan ke laut.
Selepas itu, korang boleh juga mendapatkan pelbagai maklumat mengenai hidupan marin di pulau tersebut dengan mengunjungi Marine Park Information Centre!
Istimewanya dalam perjalan pulang ke jeti Labuan Marina, korang juga berpeluang untuk menikmati keindahan beting pasir putih sepanjang 500 meter yang terletak di Pulau Kuraman yang takkan pernah tenggelam meskipun air laut pasang dan surut.
Menurut orang tempatan, beting pasir itu seakan pemisah antara perairan Labuan dan Brunei.
Menarik, kan Pulau Rusukan Besar ni? Berdasarkan pemerhatian min pulau ini bakal menjadi tarikan seperti "Gili Trawangan" di Lombok, Indonesia kerana banyak lagi kemudahan serta tarikan yang sedang dalam pembinaan untuk masa depan.
Jadi rugi sekiranya korang tak menjadi antara pengunjung terawal Pulau Rusukan Besar jika bercuti ke Labuan!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah