Selepas 4 Tahun Ditutup, Masjid Kristal Kini Kembali 'Bersinar'!
TARIKANApril 12, 2022 - 12:10 PM
Selepas empat tahun tidak beroperasi, Masjid Kristal yang menjadi antara tarikan utama ke Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kini dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti ibadah dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata kerja-kerja pembaikan Masjid Kristal yang bermula pada 2018 telah pun siap dengan perbelanjaan sebanyak RM700,000.
Antara proses baik pulih dilakukan meliputi penggantian kubah yang pecah, penggantian silikon dan 'water proofing' pada atap rata masjid.
Bagaimanapun kata beliau, masih terdapat beberapa kerja pembaikan kecil yang lain seperti aspek pencahayaan yang akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong.
"Selepas sekian lama, Masjid Kristal akhirnya sudah boleh beroperasi dengan selamat terutama untuk aktiviti ibadah pada bulan Ramadan yang tinggal hanya beberapa hari lagi.
"Untuk kerja-kerja penambahbaikan sehingga hujung tahun, kita sedang usaha dapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat dan agensi-agensi berkaitan. Setakat ini maklum balas yang kita terima adalah positif," katanya.
Dalam pada itu Ariffin berkata, Masjid Kristal yang mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu akan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan kali ini.
Pihaknya mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk menyemarakkan sambutan Ramadan di Masjid Kristal kerana banyak program dan aktiviti disediakan.
"Kita akan melaksanakan solat tarawih berjemaah setiap malam sepanjang Ramadan bersama imam jemputan, aktiviti tadarus dan tadabur al-Quran setiap Ahad hingga Rabu jam 12 tengah hari dan kuliah Zohor setiap Khamis pada jam 12 tengah hari.
"Kita juga akan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan mengadakan qiamullail dan bersahur. Jadi, semua dialu-alukan untuk merasai kembali kehebatan Masjid Kristal," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata walaupun sempadan negara mula dibuka kepada pelancong luar bermula 1 April, pihaknya tetap meletakkan sasaran kedatangan 3 juta pelancong pada tahun ini.
Menurut beliau, pihaknya perlu memantau perkembangan semasa pada suku pertama dan kedua tahun ini bagi meneliti perancangan dan strategi untuk melonjakkan lagi industri pelancongan negeri.
"Bagaimanapun setakat tiga bulan pertama ini perkembangan sangat baik apabila empat hotel milik kerajaan negeri kesemuanya mencatat keuntungan sehingga jutaan ringgit," katanya.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah