Skybridge Glass & Monorel Bakal Dibina Di Tasik Cermin, Ipoh?

TARIKAN
March 07, 2022 - 02:26 PM


Tasik Cermin di Gunung Rapat di Ipoh, Perak yang popular dalam kalangan pelancong sedang dimajukan sebagai "Taman Eko Kuari" yang pertama di Malaysia -- sekali gus menjadi produk pelancongan terbaharu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya ini.

Antara yang paling menarik perhatian tentunya rancangan pembinaan Skybridge Glass Walkway dan Monorail Tasik Cermin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata Majlis Bandaraya Ipoh telah melantik Syarikat Tasik Cermin Tourism Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan seluas lebih 26 hektar itu sebagai Tasik Cermin Eco Park Ipoh.

"Tasik Cermin merupakan kawasan kuari lama dan tidak lagi beroperasi namun mempunyai dua tasik dan dua terowong yang unik hingga menarik minat ramai pelancong.

"Hari ini merupakan hari ke-42 pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh yang berkonsepkan rendah karbon dan menggunakan bahan mesra alam kerana ia merupakan satu daripada 19 geotapak yang terletak di dalam Geopark Lembah Kinta.

"Dengan adanya kerjasama awam dan swasta dalam membangunkan kawasan geotapak seperti ini, secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri memelihara dan mempromosi Geopark Lembah Kinta sebagai satu daripada geopark kebangsaan yang utama di negara ini," katanya.

Menurutnya pelbagai pembangunan pelancongan berasaskan eko telah dirancang yang dibahagikan kepada beberapa fasa termasuk jeti bot, kios makanan dan minuman, kafe, tapak glamping, Skybridge Glass Walkway dan Tasik Cermin Monorail.

Beliau berkata pelbagai pakej eko pelancongan akan turut disediakan selain kemudahan seperti surau, tandas, tempat meletak kenderaan, kawasan pejalan kaki dan kemudahan mesra alam termasuk kereta kuda, bugi, beca dan basikal.

Nolee Ashilin berkata pembangunan Tasik Cermin akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan pada masa sama pihak pemaju sedang melatih masyarakat Orang Asli sebagai sumber tenaga kerja memandangkan alam semula jadi berkait rapat dengan mereka.

"Kita juga bekerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mendapatkan nasihat kepakaran supaya pembangunan dijalankan mengikut prosedur operasi standard demi menjaga keselamatan," katanya.

Sumber: BERNAMA

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah