Siri Korea Paling Viral Sekarang! Ini 5 Pengajaran Hidup Yang Penting Dari Squid Game
GAYA HIDUP[SPOILER ALERT]
Viral sangat Squid Game ni, rugi kalau korang tak tengok sebab best giler! Cerita yang lain daripada yang lain, dan penuh dengan pengajaran tentang kehidupan.
Squid Game yang mencipta sejarah baharu dengan mengungguli senarai 10 drama teratas di Netflix Amerika Syarikat minggu lepas bukan sahaja diterima baik di negara asalnya, malah drama thriller ini turut menjadi trending di 13 negara lain antaranya Malaysia, Singapura dan Vietnam.
Sementara itu, Squid Game kini berada di posisi kedua Netflix global iaitu di belakang drama Sex Education yang turut ditayangkan bermula 17 September lalu.
Squid Game yang dibintangi pelakon hebat Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Jung Ho-yeon, Lee Byung-hun dan Gong Yoo menceritakan tentang 456 peserta dengan masalah hidup tersendiri melibatkan kewangan masing-masing direkrut dalam satu siri permainan kanak-kanak yang meragut nyawa.
Hadiah kemenangan keluar hidup-hidup daripada pertandingan tersebut adalah wang tunai lumayan berjumlah 45.6 bilion won (RM161 juta).
Walaupun kebanyakan babak dalam siri tersebut bersifat ngeri, dan seolah-olah tidak masuk akal, ada beberapa pengajaran yang mampu digunapakai di dalam kehidupan buat semua yang menonton. Berikut adalah 5 pengajaran daripada siri thriller Squid Game:
1. Kepentingan menyimpan
Sama ada dalam bentuk wang ringgit, ataupun insuran, seorang dewasa yang bertanggungjawab sepatutnya mempunyai sikap menyimpan. Watak utama, Gi-hun masih lagi bergantung kepada ibunya yang dimamah usia, hingga tidak mampu untuk membelikan hadiah untuk ulangtahun kelahiran anak perempuannya sendiri.
Gi-hun turut membuat keputusan untuk kembali ke arena Squid Game demi membiayai kos perubatan ibunya yang sakit, dan tidak dilindungi sebarang insuran. Gi-hun mungkin tidak perlu untuk kembali ke Squid Game sekiranya dilindungi insuran. Kegigihan Gi-hun juga tidak berbaloi kerana berita buruk yang menantinya di rumah selepas tamatnya Squid Game.
2. Elakkan daripada berhutang selagi boleh elak
Jika dilihat pada awal babak ketika kesemua peserta Squid Game sedar daripada pengsan, berlaku sebuah rusuhan kerana mereka tidak percaya kepada penganjur permainan. Namun, kemudian latar belakang masing-masing didedahkan dan ternyata mereka semua terlibat dengan hutang yang bertimbun.
Meskipun ada daripada peserta yang berlatar belakang hebat seperti doktor, dan Sang-woo yang merupakan seorang graduan bisnes yang dibangga-banggakan orang kampung mereka, masih hidup dibelenggu hutang, sehingga terpaksa bunuh membunuh untung wang.
3. Jangan percaya orang sembarangan
Bagi korang yang dah tengok Squid Game sampai habis, tak perlu min nak ulas panjang point ni, memang nampak setiap watak dalam Squid Game ni kebanyakannya tidak boleh dipercayai. Apabila wang menjadi 'tuhan', kawan yang membesar bersama pun boleh ditikam.
4. Kenalan yang berharga boleh muncul dari mana-mana
Hargai setiap orang yang hadir dalam hidup, dan layanlah semua orang dengan ikhlas, kita tidak tahu siapa yang akhirnya akan jaga dan selamatkan 'nyawa' kita ketika ianya di hujung tanduk.
Babak Sae-byeok, gadis pelarian Korea Utara, dan Ji-yeong, bekas banduan yang tidak mempunyai keluarga amatlah menyahat hati kerana meraka hanya berkenalan selama 30 minit, dan hanya sempat bertukar beberapa soalan peribadi. Namun apabila mereka perlu bertanding nyawa masing-masing, Ji-yeong mengambil keputusan untuk kalah dengan sengaja, kerana Sae-byeok lebih memerlukan wang ganjaran permainan tersebut.
5. Kebaikan itu sentiasa akan membawa seseorang ke pengakhiran yang baik
Berbuat baik itu tidak pernah akan merugikan, yang pasti, mereka yang baik sudah tentu akan diberikan ganjaran yang baik. Gi-hun, watak utama permainan tersebut tidak mempunyai ciri-ciri yang menyerlah tentang dirinya, tidak kuat dan tidak juga bijak.
Namun, antara sifat yang baik dalam dirinya adalah sifat baik hati, sentiasa menjaga orang di sekelilingnya yang memerlukan bantuan, terutama sekali watak lelaki tua yang sentiasa bersama dengannya di dalam Squid Game. Akhirnya, dengan tiada apa-apa kebolehan istimewa, Gi-hun diberikan gantaran kemenangan permainan tersebut. Memang luck semata-mata.
Jadi, pengajaran mana yang paling membuka mata korang?
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah