10 Tempat Menarik Sekitar Stadium Rajamangala, Bangkok
TARIKANDecember 03, 2018 - 04:43 PM
Ramai sedia maklum yang pasukan negara akan berkunjung ke Thailand untuk perlawanan kedua semi final Piala AFF Suzuki 2018. Jika pasukan negara beraksi di Bangkok, lebih tepat di Stadium Rajamangala sudah pastilah ramai penyokong dari Malaysia yang akan ‘turun’ ke sana.
Apa yang kami perasan, Air Asia punya penerbangan catar PENUH. 160 orang akan ke sana. Itu tak termasuk rombongan penyokong yang menaiki bas dari segenap pelusuk negara.
Jadi rasanya tak salah kalau nak kongsikan tempat menarik sekitar Stadium Rajamangala. Mungkin korang ada jadual yang terhad, tapi kalau ada lebih masa, singgah la ke 10 tempat menarik sekitar Bangkok ini ye.
Jarak kesemua lokasi menarik sekitar Stadium Rajamangala ni tak lebih dari 25 kilometer dan kebanyakan tarikan ada di kawasan Pathum Wan. Bayaran masuk (kalau ada) dinyatakan dalan Thai Baht, kadar penukaran tu diletakkan +/- sebab ialah, kadar petukaran duit kan naik turun. Jarak pulak, kalau ikut google map ye.
#1. The Grand Palace
Antara tarikan pelancong paling popular di Bangkok, The Grand Palace terletak bersebelahan dengan Sungai Chao Phraya dan istana ini juga tempat tinggal raja Thailand sekarang iairu Maha Vajiralongkorn Bondidradebayavarangkun atau disebut Rama X, anakanda kepada Raja Thailand yang mangkat sebelum ini iaitu Raja Bhumibol Adulyadej. Disini juga dilakukan segala upacara yang melibatkan raja sehingga sekarang.
Lokasi : Jalan Na Phra Lan
Waktu Operasi : 8.30 pagi hingga 3.30 petang
Bayaran Masuk : 400 Baht (RM50 +/-)
Jarak dari Stadium Rajamangala : 17km +/-
#2. Wat Arun ( Temple of Dawn)
Wat Arun juga adalah salah satu tempat yang menarik dan terkenal di Bangkok. Struktur binaan tempat ibadat ini adalah sangat simbolik kepada Thailand dan merupakan antara yang sering di ambil gambar oleh pelancong yang ke sana.
Lokasi : Bahagian Barat Sungai Chao Praya (Berdepan dengan Tha Thien Pier)
Waktu Operasi : 8 pagi – 5.30 petang
Bayaran Masuk : 50 Bhat (RM6 +/-)
Jarak dari Stadium Rajamangala : 22km +/-
#3. Wat Pho
Wat Pho atau dikenali sebagai Temple of Reclining Buddha. Kalau nak tahu, dekat sinilah tempat dikatakan asalnya teknik urutan Thai yang selalu disebut-sebut tu. Selain itu, salah satu tarikan disini adalah patung Buddha yang berbaring, 46 meter saiznya!
Kalau ke sini, boleh cuba urutan Thai yang original! Harganya 200 Baht.
Lokasi : Sanam Chai
Waktu Operasi : 8 pagi – 5 petang
Bayaran Masuk : 50 Baht (RM6 +/-)
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 17km
#4. Baiyoke Sky Tower
Sky Tower Baiyoke ini adalah bangunan tertinggi di Thailand, dengan ketinggian 343 meter, bangunan 84 tingkat ini mempunyai banyak kedai-kedai yang popular dan bertindak sebagai hab hiburan. Terdapat observation deck di tingkat ke-84 dan korang boleh menikmati pemandangan cantik bandar Bangkok.
Lokasi : 222, Jalan Rajprapop, Pratunam
Waktu Operasi Skywalk dan Deck : 10 pagi hingga 10.30 malam
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 13km +/-
#5. National Museum Bangkok
Muzium Nasional Bangkok ni adalah muzium yang terbesar di Asia Tenggara, jadi kalau tak melawat ke sini, agaklah rugi. Dikatakan koleksi kesenian adalah yang terbaik disini. Selain tu, ada koleksi peribadi keluarga di-Raja Thailand dipamerkan disini. Hari Rabu, Khamis atau Sabtu ada disediakan tour secara percuma.
Boleh pegi pagi hari perlawanan atau sehari lepas game.
Lokasi : Jalan Na Phrathat
Waktu Operasi : 9 pagi – 4 petang (Rabu hingga Ahad)
Bayaran Masuk : 400 Baht (RM 24 +/-)
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 17km
#6. Wat Benchamabophit (The Marble Temple )
Tak dapat dinafikan, ini adalah kuil yang paling cantik di Bangkok. Juga dikelani sebagai kuil marmar. Salah satu contoh seni bina Bangkok dengan bumbung berlapis dan dekorasi seakan-akan burung yang dipanggil Chofah.
Lokasi : 69, Jalan Nakornpathom, Dusit
Waktu Operasi : 8 pagi – 5.30 petang
Bayaran Masuk : 20 Baht (RM2.50 +/-)
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 15km
#7. Wat Suthat
Di kawasan Wat Suthat ni terdapat satu buayan setinggi 21 meter dan ia adalah salah satu tarikan di Bangkok jugak. Kalau ke sini, jangan lupa ambil gambar banyak-banyak. Sebabnya Wat Suthat ni antara tempat paling banyak digambarkan dalam poskad. Wat Suthat dibina 2 tahun selepas Bangkok dijadikan ibu negara Thailand pada 1782, maknanya ia dah didirikan lebih daripada 200 tahun!
Lokasi : Jalan Bamrung Muang
Waktu Operaso : 8.30 pagi – 9 malam
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 17km
#8. Jambatan Rama VIII
Walaupun ada banyak jambatan yang dibina untuk merentasi Sungai Chao Phraya ni, ini antara yang paling menyerlah. Selain seni bina yang unik, ia dinamakan sempena Raja Ananda Mahido (Rama VIII). Ia disokong dengan tiang berbentuk ‘A’ yang juga satu-satunya sokongan yang ada disitu.
Kalau nak tahu, jambatan inilah yang ada dibelakang duit kertas 20 Baht.
Lokasi : Bang Phlat
Jarak Dari Stadium Rajamangala : 15 km +/-
#9. Khaosan Road
Tak sah perjalanan ke Bangkok kalau tak singgah di Khaosan Road. Antara tempat paling banyak kedai untuk shopping ole-ole untuk dibawa balik ke Malaysia. Sini jugak banyak hostel dan kawasan backpackers.
Kalau dekat Malaysia, dia ala-ala kawasan Bukit Bintang tu la kot.
#10. Pasar Chatuchak
Pasar Minggu Chatuchak adalah pasar malam yang terbesar di dunia. Nak cari makanan, baju, sampailah perabot, ada dijual dekat sini.
Kalau nak diikutkan, Pasar Chatuchak ni terkenal sebab pasaran haram reptilia, burung dan hidupan liar. Kalau terjumpa, korang cuci mata ajelah. Apa yang berbaloi nak dibeli disini adalah sutera thai, baju dan barangan kraf. Katanya jauh lagi murah daripada yang dijual dekat tempat lain.
Lokasi : Chatuchak
Waktu Operasi : Sabtu Ahad – 9 pagi sampai 6 petang.
Tips dia, datang awal.
Jarak dari Stadium Rajamangala : 18km +/-
Jadi, kalau korang ke Bangkok, ini adalah tempat-tempat menarik sekitar Bangkok. Kalau sempat, pergi lah salah satu tempat ni.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah