'Floating Market Pantai Suri' - Rugi Kalau Korang Tak Singgah Jika Bercuti Ke Kelantan!

JALAN-JALAN
July 29, 2020 - 12:11 PM


Disebabkan pandemik COVID-19, pintu sempadan negara masih belum dibuka dan mungkin kita juga tidak dapat melancong ke luar negara dalam tempoh yang agak lama.

Tetapi kalau ada antara korang yang mula rindukan suasana untuk berjalan-jalan cari makan di pasar terapung seperti di Hatyai atau Bangkok, Thailand -- korang mungkin boleh gantikan kerinduan tersebut dengan berkunjung ke Floating Market Pantai Suri yang terletak di daerah Tumpat, Kelantan.

Jujur min katakan yang korang memang takkan menyesal kalau ke sana sebab Floating Market Pantai Suri tak kurang hebatnya pun daripada yang ada di Khlong Hae Floating Market, Hatyai!

Malah kalau korang menghabiskan masa jalan-jalan dan makan-makan di pasar terapung yang kini menjadi ikonik pelancongan Kelantan itu -- korang akan dapat mengenali dengan lebih dekat serta mencuba sendiri keenakan makanan tradisional masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang yang selama ni mungkin korang hanya dengar namanya sahaja.

Masa min pergi ke sini yang percutiannya ditaja oleh pihak Tourism Malaysia, ramai pengunjung yang min dekati mereka datang dari negeri di seluruh Malaysia seperti Negeri Sembilan, Kedah dan Kuala Lumpur!

Jadi, min cadangkan kalau ke sana, makanan yang wajib korang cuba dan rasa sendiri kelazatannya yang korang takkan jumpa di mana-mana ialah:

- Lokan Bakar & Lokan Percik

- Etok-Setok Salai

- Kerabu Nipah

- Ketupat Sotong

- Miang Pla Talapia

Bila dah membeli semua makanan signature Kelantan tu daripada 20 peniaga tempatan yang berasal dari Kampung Pantai Suri yang berniaga dari atas sampan, korang seterusnya boleh menikmati kesemua hidangan tersebut di meja yang disusun di bawah pohon-pohon kelapa atau nak lebih santai korang juga boleh memilih untuk duduk bersila di atas tikar yang disediakan.

Suasana makan sambil dihembus dengan angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa memang membuatkan pengalaman berada di Floating Market Pantai Suri cukup santai dan mengasyikkan.

Jika korang bertuah, kadang-kala pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan tradisi Kelantan iaitu Dikir Barat dan pertandingan 'Ayam Kokok' yang sememangnya menjadi hobi masyarakat di sana.

Kalau korang nak membeli-belah pelbagai barangan lain seperti topi, baju, seluar dan cenderamata Kelantan pun ada dijual di situ, tetapi gerai-gerai jualan tersebut beroperasi di atas darat dan bukannya dari atas air seperti jualan makanan.

Macam Mana Nak Ke Floating Market Pantai Suri?

Satu-satunya akses pengangkutan untuk ke Floating Market Pantai Suri adalah dengan menaiki bot yang boleh korang dapati di beberapa jeti terdekat.

Tetapi bagi Min, lebih mudah jika korang ambil bot dari Medan Ikan Bakar (MIB), Kedai Buloh, Kota Bharu yang dekat dengan warung popular teh madu beng Pak Mat Pulau Pisang.

Kalau korang beli pakej bot di sini, korang hanya dikenakan bayaran RM15 seorang untuk tambang bot pergi dan balik serta tiket masuk ke pasar terapung Pantai Suri.

Perjalanan dari Jeti MIB ke floating market tersebut akan mengambil masa dalam setengah jam dan sepanjang perjalanan tu korang takkan bosan sebab kiri kanan ada banyak pemandangan kampung yang indah dengan deretan pohon-pohon kelapa yang melambai-lambai.

Tetapi ingat ya, Floating Market Pantai Suri ini hanya dibuka sehari dalam seminggu iaitu pada Hari Sabtu sahaja. Itu pun mereka hanya beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Jadi kalau nak merasa jalan-jalan ke 'Pasar Terapung Pertama di Malaysia' itu, korang pastikan rancang dulu pelan percutian elok-elok biar tak kecewa!

Baca Artikel Terdahulu: Tak Perlu Lagi Ke Negara Jiran Cari Pasar Terapung, Kelantan Pun Ada 2 ‘Floating Market’!

Artikel Berkaitan: Lokan Bakar Cheese Tarikan Baharu Pasar Terapung Pulau Suri, Kelantan

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah