Mesir Buka Pintu Kepada Pelancong Antarabangsa Mulai 1 Julai
JALAN-JALANJune 16, 2020 - 12:18 PM
Bermula 1 Julai ini, Mesir secara rasmi bakal membuka semula pintu masuk negaranya bagi menyambut kedatangan pelancong dengan memulakan operasi di semua lapangan terbang antarabangsanya.
Pengumuman pembukaan semula ruang udara negara berkenaan dibuat kerajaan Mesir pada Ahad bagi merancakkan semula aktiviti pantai, perhotelan dan resort.
Menteri Penerbangan Awam Mohamed Manar berkata, pembukaan lapangan terbang itu membabitkan penerbangan antara negara yang sudah membuka kembali ruang udara mereka.
"Kita berharap perniagaan akan kembali pulih seperti sebelum ini," katanya.
Sebelum ini bagi membendung penyebaran Covid-19, negara yang sememangnya bergantung kepada aktiviti pelancongan itu menghentikan lalu lintas udara selain menutup kawasan arkeologi, muzium dan hotel, sejak Mac lalu.
Bagaimanapun sebagai permulaan, hanya 3 wilayah yang terkenal dengan resort pantai diizinkan untuk menyambut pelancong iaitu di Laut Merah, Sinai Selatan dan Marsa Matruh.
"Kami memilih ketiga-tiga wilayah ini kerana mereka berada di pesisir pantai, jauh dari pusat utama dan merekodkan jumlah jangkitan virus terendah," katanya.
Katanya, Mesir juga mengumumkan untuk mengenepikan visa pelancong dari 1 Julai hingga 31 Oktober ini.
Tambahnya, tempat pelancongan lain termasuk piramid di Giza, muzium Mesir di Kaherah dan kuil Karnak Luxor akan dibuka semula secara berperingkat.
"Kita tidak terburu-buru (buka kepada pelancong). Kita ingin memastikan kesihatan semua orang dan reputasi sebagai destinasi pelancongan utama dunia," katanya.
Lebih 200 hotel sudah mendapat kebenaran untuk dibuka semula kepada pelancong selepas melaksanakan langkah-langkah kebersihan dan keselamatan yang ketat, termasuk menjarakkan meja restoran dan mengehadkan kapasiti lif.
Namun sekiranya didapati terdapat pengusaha premis yang melanggar peraturan kesihatan ditetapkan., Kerajaan bakal mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kebenaran perniagaan mereka.
Sumber: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah