Muzium Plastik Indonesia - Sambil Beri Kesedaran, Jadi Port Instagrammable Baru Di Surabaya!

JALAN-JALAN
October 15, 2021 - 05:11 PM


Seiiring dengan kemajuan pembangunan moden di seluruh dunia, sekaligus menyebabkan kelestarian alam semulajadi kita semakin tenat.

Peka dengan masalah itu, aktivis alam sekitar di Indonesia cuba menzahirkan kesedaran kepada warganya tentang krisis pencemaran bahan buangan plastik yang memenuhi laut dan sungai dengan membina sebuah Muzium Plastik yang diperbuat sepenuhnya menggunakan bahan buangan tersebut.

Pembinaan muzium berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meyakinkan orang ramai agar mereka memikirkan semula tabiat mereka dan mengatakan 'tidak' kepada penggunaan beg serta botol plastik.

Pameran terbuka Muzium Plastik yang terletak di Kota Gresik, Jawa Timur, Surabaya itu mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan menggunakan lebih daripada 10,000 sampah plastik, termasuk botol dan beg hingga jerami, semuanya dikutip dari sungai dan pantai yang tercemar.

Sejak mula dibuka pada awal September lalu, Muzium Plastik berkenaan telah menerima lebih 400 pengunjung.

Meskipun hanya menggunakan bahan buangan plastik, muzium itu kini semakin popular di kalangan pengunjung apabila turut menjadi spot bergambar cantik atau Instagrammable, di mana pengunjung suka mengambil gambar berlatar belakangkan ribuan botol air yang digantung.

Masalah pencemaran plastik di Indonesia yang memiliki jumlah rakyat teramai di Asia Tenggara semakin meruncing dan menjadikan negara itu kini berada di kedudukan kedua selepas China berdasarkan jumlah sampah plastik yang ditemukan di laut.

Turut tersenarai di kedudukan tersebut adalah Filipina dan Vietnam.

"Kami mahu menekankan kepada orang ramai supaya berhenti gunakan plastik pakai buang.Plastik-plastik ini sangat sukar untuk dikitar semula. Bermula hari ini, kita harus berhenti gunakan plastik pakai buang kerana ia akan mencemarkan lautan kita, yang juga sumber makanan kita." kata Pengasas Muzium itu, Prigi Arisandi.

Sementara itu, seorang pelajar bernama Ahmad Zainuri berkata pameran itu membuka matanya terhadap betapa besarnya masalah pencemaran itu.

"Saya akan beralih ke beg tote dan ketika membeli minuman, saya akan menggunakan bekas air sendiri," katanya.

Manakala seorang lagi pelajar, Ayu Chandra Wulan berkata, "Saya akan beli barang yang boleh diguna semula seperti botol minuman dan bukan botol plastik pakai buang. Dengan melihat begitu banyaknya sampah yang ada di sini, buat saya rasa sangat sedih."

Sumber: Berita MediaCorp

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah