Nak Enjoy Pemandangan Kaabah Seperti Burung Di Langit? Jom Ke Menara Jam Makkah!

JALAN-JALAN
August 01, 2019 - 12:10 PM


Jika anda merupakan antara jemaah bertuah yang telah dijemput menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah Haji atau Umrah, tahniah diucapkan dan semoga mendapat Haji yang mabrur.

Tapi, tahukah anda bahawa sebenarnya terdapat sebuah lokasi di tengah-tengah kota Mekah di mana anda boleh melihat pemandangan menakjubkan 360 darjah menghadap Kaabah dengan perasaan seolah-olah  seperti burung yang bebas terbang tinggi di langit!

Bunyi macam menarik, kan?

Sekiranya anda ingin merasai pengalaman best itu, jangan lupa untuk singgah ke Menara Jam Makkah iaitu menara tertinggi yang diduduki di dunia!

Menara yang berketinggian 607 meter itu terletak betul-betul di hadapan Masjidil Haram.

Muzium Menara Jam Di 4 Tingkat Menara Ini

Pelbagai kemudahan terdapat di menara yang memiliki empat muka jam berwarna hijau di setiap sisinya, yang mana satu daripadanya adalah Muzium Menara Jam di empat tingkat menara berkenaan bagi memberi penjelasan kepada pelawat mengenai alam semesta dan pembinaan jam itu sendiri.

Balkoni Untuk Pengunjung Menikmati Pemandangan Kaabah

Terdapat juga balkoni betul-betul di bawah muka jam untuk pengunjung menikmati pemandangan Kaabah yang luar biasa.

Manakala bahagian kristal di tujuh tingkat pula menempatkan pameran, perpustakaan dan kemudahan penyelidikan.

Bahagian Kristal Menara & Bulan Sabit Yang Ada Bilik Solat

Malah, menara itu juga mempunyai tiga tingkat membabitkan bulan sabit di atasnya yang mana pelawat boleh tinggal dan solat di situ.

Menara Jam Makkah yang siap dibina pada tahun 2011 itu bukan sahaja membolehkan semua orang dari seluruh dunia, Islam dan bukan Islam, menyumbang kepada perkiraan masa, waktu solat, kalendar dan ukuran arah kiblat yang sangat tepat untuk kebaikan rakyat di seluruh dunia.

Bahkan, pusat penyelidikan di menara itu telah melakukan banyak kolaborasi khususnya dalam bidang astronomi dengan beberapa pusat penyelidikan terkenal di dunia.

Jika berkunjung ke Muzium Menara Jam ini, anda pasti kagum dan terpesona dengan penjelasan yang terperinci mengenai kaitan ayat-ayat Al-Quran dengan alam semesta, termasuk bima sakti, matahari dan bulan.

Sejak dibuka pada bulan Ramadan lepas, Menara Jam Makkah telah menerima 40,000 pengunjung yang rata-rata terdiri daripada jemaah dari Malaysia dan Indonesia.

Menara itu dijangka bakal membuat pembukaan rasminya pada akhir musim Haji ini dengan menyasarkan 3 juta pelawat setiap tahun.

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah