Seronoknya..Phuket Dah Mula Sambut Pelancong Asing Untuk Bercuti!

JALAN-JALAN
July 02, 2021 - 01:36 PM


Bermula semalam (1 Julai) -- pulau peranginan terkenal di Thailand, Phuket dilihat meriah dengan sambutan ketibaan ratusan pelancong asing menerusi projek perintis "Phuket Sandbox" bagi merancakkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Buat pertama kali selepas 15 bulan, akhirnya pada 11.10 pagi (waktu tempatan) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket menyambut ketibaan antarabangsa pertama, penerbangan Etihad dari Abu Dhabi yang membawa 25 penumpang.

Ia merupakan penerbangan pertama dari empat penerbangan yang keseluruhannya membawa kira-kira 400 pelancong dari Doha, Tel Aviv, Singapura dan Abu Dhabi, yang sudah lengkap divaksin tiba di Phuket.

Di bawah pelan "Phuket Sandbox", pelancong asing lengkap divaksin dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari, tetapi perlu tinggal di pulau itu selama dua minggu sebelum boleh melakukan perjalanan ke wilayah lain di Thailand.

Pelancong asing yang dibenarkan adalah dari negara berisiko rendah dan sederhana, perlu memohon Sijil Masuk (CoE) dan membeli insurans perubatan merangkumi rawatan COVID-19 bernilai US$100,000 dan juga negatif ujian RT-PCR untuk tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Selain itu, pelancong asing mesti mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dengan vaksin yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak kurang 14 hari sebelum tarikh perjalanan.

Pihak berkuasa akan menutup semula Phuket jika kes harian COVID-19 meningkat kepada dua angka di pulau itu.

"Phuket Sandbox" menjadi model untuk wilayah pelancongan lain termasuk Chiang Mai, Chon Buri (Pattaya), Krabi dan Phang Nga dan Surat Thani (Koh Samui) yang dijangka dibuka pada Oktober.

Pelancong domestik yang mahu memasuki Phuket pula, mereka mesti mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin AstraZeneca atau dua dos vaksin jenis lain.

Sumber: BERNAMA

Artikel Berkaitan: Phuket Dibuka Untuk Pelancong Di Bawah Projek 'Phuket Sandbox'

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah