16 Tempat Makan Menarik Di Kota Kinabalu Sabah
JALAN-JALANJuly 24, 2019 - 10:22 AM
Kota Kinabalu merupakan ibu negeri Sabah yang terletak di utara kepulauan Borneo. Ia merupakan satu tempat menarik untuk dilawati khususnya buat mereka yang gemarkan aktiviti luar seperti aktiviti mendaki, snorkeling dan pengembaraan pulau ke pulau (island hopping).
Tempat makan menarik di Kota Kinabalu
Walaubagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, tidak sahlah suatu percutian itu jika tidak disertai dengan pengalaman menikmati makanan yang sedap terutamanya jika kawasan itu menyediakan kualiti makanan yang jauh lebih hebat. Bersama artikel ini, saya sertakan 16 tempat makan menarik di Kota Kinabalu yang perlu anda datang jika merancang melancong ke Kota Kinabalu.
1. Kampung Nelayan Floating Seafood Market Restaurant
Jika anda mahu menikmati hidangan makanan laut sambil dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional yang pelbagai, kampung nelayan floating seafood market restaurant adalah pilihan utama buat anda. Tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini terletak di Tasik Taman Botani dan mempunyai suasana persekitaran yang menarik ditambah pula dengan reka bentuk restoran yang diadaptasi daripada rekabentuk Minangkabau.
Persembahan tarian akan diadakan pada pukul 7.45 malam sehingga 8.45 malam. Oleh itu, jika anda ingin menyaksikan keunikan tarian yang secara rutinnya dipersembahkan kepada para penonton, anda perlu merancang untuk tiba lebih awal ke destinasi tersebut.
Terdapat pelbagai jenis hidangan yang disediakan di restoran ini. Makanan akan dihantar ke meja mengikut kategori seperti juadah pembuka selera, juadah utama dan juadah pencuci mulut. Anda boleh mencuba masakan makanan laut yang merupakan hidangan signature buat restoran ini.
2. Lava KK Burger Bakar
Jika anda adalah penggemar burger, semestinya anda tahu bahawa kualiti daging yang disediakan bersama burger adalah faktor utama yang memberikan keunikan rasa dan seterusnya mempengaruhi kelazatan burger tersebut. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat burger perlulah segar dan jumlah peratusan daging tulen perlulah 100% kerana ia mempengaruhi kualiti burger yang disediakan oleh sesebuah restoran.
Ini merupakan ciri-ciri burger yang disediakan di Lava KK Burger Bakar yang merupakan kedai burger bakar pertama di Sabah apabila ia dibuka pada tahun 2012. Rata-rata testimoni yang diberikan oleh pengunjung amat memberansangkan.
Selain daripada burger, tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini juga menyediakan pelbagai juadah masakan barat yang berkualiti tinggi seperti meatball, fish and chip, chicken chop dan sebagainya. Restoran ini beroperasi pada hari Selasa hingga Ahad dari jam 11 pagi hingga 11 malam.
3. D’Place Kinabalu
Mahukan makanan eksotik orang Sabah seperti butod, ulat sago dan sebagainya? D’Place Kinabalu adalah merupakan tempat makan menarik di Kota Kinabalu yang menawarkan makanan eksotik Sabah bertemakan makanan etnik Kadazan Dusun.
Ia merupakan satu restoran yang memperagakan suasana, budaya dan pelbagai jenis juadah yang pastinya asing buat anda jika anda bukan berasal dari Sabah. Pelayan restoran boleh membantu anda membuat pilihan sekiranya anda keliru dengan jenis makanan yang disediakan.
Restoran ini agak luas, dilengkapi dengan penghawa dingin dan dihiasi dengan pelbagai jenis hiasan buluh yang menjadi tarikan pengunjung. Ia beroperasi setiap hari tetapi mempunyai masa operasi yang berlainan:
- Isnin (6 petang – 10 malam)
- Selasa (11 pagi – 4 petang, 6 petang – 10 malam)
- Rabu – Jumaat (11 pagi – 4 petang, 6 petang – 9.30 malam)
- Sabtu – Ahad (11.30 pagi – 10 malam)
4. Borenos Fried Chicken
Jika anda mahu menikmati juadah ayam goreng di kawasan Semenanjung, sudah tentu anda teringat kepada restoran KFC yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia. Di Kota Kinabalu, Borenos Fried Chicken menyediakan hidangan ayam goreng yang menurut para pengunjung, mempunyai kualiti ayam goreng yang setara atau jauh lebih baik berbanding dengan restoran KFC. Biar betul?
Seperti restoran KFC, tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini menawarkan pelbagai jenis set hidangan yang berpatutan dari segi harganya. Jika anda berkunjung ke Kota Kinabalu, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Borenos Fried Chicken. Restoran ini beroperasi 24 jam setiap hari dan servis penghantaran turut disediakan untuk kemudahan para pelanggan.
5. Gerai Seafood Pasar Malam Filiphina
Selain daripada membeli kraftangan buat sahabat atau keluarga, pasar malam Filipina yang terletak berhadapan dengan Hotel Meridian Kota Kinabalu ini turut menjual dan menyediakan pelbagai jenis makanan laut pada harga yang rendah. Terdapat dua sudut pada kawasan yang menjadi tumpuan ramai ini, gerai makanan laut dan juga tempat membeli belah buat para pelancong.
Selain daripada makanan laut, terdapat juga peniaga yang menjual makanan tradisi penduduk Sabah seperti keropok amplang dan kuih cincin. Pasar ini beroperasi dari pagi sehingga malam namun kebanyakan kedai yang menjual makanan laut hanya mula beroperasi pada pukul 5 petang sehingga jam 11 malam.
6. Mahshawi’s Grill Nasi Arab
Jika anda menetap di Hotel Tang Dynasty Bay, terdapat sebuah tempat makan menarik di Kota Kinabalu yang menyediakan hidangan nasi arab pada harga yang berpatutan. Restoran ini merupakan satu-satunya restoran yang menyediakan makanan arab seperti nasi arab, kabsah, kebab dan sebagainya di Sabah.
Jika dilihat pada hiasan dalaman restoran ini, tiada siapa dapat meneka ia merupakan sebuah restoran yang menyediakan makanan arab, namun begitu segala fasiliti yang disediakan bakal memberikan keselesaan kepada para pengunjung sewaktu menikmati hidangan masing-masing.
Restoran ini beroperasi dari hari khamis ke hari selasa dan tutup pada hari rabu. Restoran ini dibuka bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 11 malam.
7. Warung Bandung Kepayan
Tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini terletak berhampiran dengan Open University Malaysia dan menyediakan pelbagai jenis hidangan bertemakan makanan Indonesia seperti nasi panggang ayam kalasan, nasi ayam berlado dan nasi ikan bawal goreng.
Inginkan makan tengah hari di restoran ini? Anda hendaklah datang lebih awal atau hubungi nombor telefon (0112-6869735) untuk mendapatkan maklumat berkenaan tempahan meja dan sebagainya. Ini kerana, restoran ini menjadi tumpuan penduduk setempat pada tengahari kerana ia menyediakan makan yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
8. Brunei Satay’s House
Restoran ini pernah tersenarai dalam Malaysia Delicious 100 Halal and Muslim Friendly Food. Makanan apa yang disediakan di kedai ini? Tengok pada nama sahaja sudah tahu! Kedai ini menyediakan pelbagai aneka sate (ayam, daging, kambing, perut dan lain-lain) sebagai hidangan utama beserta makanan tradisi Brunei seperti nasi goreng pulau Brunei, konchung, kelupis dan sebagainya.
Inilah masanya untuk anda merasai juadah negara Brunei sekiranya anda tidak pernah ke Brunei atau Sabah sebelum ini. Walaupun tempatnya agak sempit dan ia tidak dilengkapi dengan penghawa dingin, jika anda datang bukan pada waktu puncak, suasana persekitarannya agak selesa dan tidaklah sesak.
Tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini beroperasi setiap hari pada pukul 11 pagi hingga 10 malam kecuali pada hari Jumaat (1.30 petang hingga 10.30 malam).
9. Warung Pokdi Kelate
Rindu makanan semenanjung? Warung Pokdi Kelate yang terletak berhampiran dengan One Superstore menyediakan pelbagai hidangan yang mampu mengubat rindu anda seperti nasi lemak, nasi berlauk, nasi dagang dan laksa Penang.
Restoran ini terletak berhampiran dengan kedai-kedai yang agak sibuk, jadi suasananya agak bising. Harga yang dikenakan untuk setiap unit makanan adalah berpatutan (atau murah, bergantung pada persepsi anda) dan kualiti makanan yang disediakan boleh dikatakan pada tahap yang cukup memuaskan. Restoran ini beroperasi pada hari Selasa sehingga Ahad dari jam 10 pagi hingga 9 malam.
10. Restoran Masakan Sedap
Kepada mereka yang tidak kisah akan harga makanan, tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini menyediakan hidangan makanan yang berkualiti tinggi tetapi pada kadar harga yang agak mahal. Beberapa testimoni yang ditulis oleh pelanggan yang berkunjung ke restoran ini menyatakan bahawa harganya agak mahal namun makanan yang disediakan setaraf dengan hotel 4 bintang.
Pengusahanya adalah orang cina namun kepada umat islam yang ingin merasai keunikan rasa makanan yang disediakan oleh restoran ini, anda tidak perlu ragu kerana restoran ini diiktiraf halal oleh JAKIM. Antara makanan yang sering menjadi tumpuan para pengunjung adalah Claypot Fish Head, Honey Lamb, Soft Shell Crab dan hidangan ikan kukus.
11. Restoran D’soka
Tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini menyediakan pelbagai jenis makanan tradisi Sabah dan lain-lain seperti ambuyat, kerabu kerang, sambal ikan masin dan sebagainya. Selain daripada makanan berkualiti tinggi, restoran ini turut menyediakan minuman coconut shake yang kini menjadi tumpuan utama pengunjung apabila datang ke restoran ini.
Harga yang disediakan adalah berpatutan dan suasana persekitarannya amat selesa. Jika anda bukan berasal dari Sabah, berkunjunglah ke restoran D’Soka untuk menikmati makanan tradisi Sabah. Restoran ini beroperasi setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 11 malam.
12. Steamboat Bakar Kota Kinabalu
Steamboat bakar ini merupakan salah satu daripada restoran yang popular di Sabah dan ia menyediakan makanan steamboat yang segar dengan harga yang berpatutan. Restoran ini mempunyai kelengkapan yang cukup dan jika dilihat pada kedai, ia kelihatan ringkas dan santai.
Namun begitu, jangan dipandang rendah akan kualiti makanan yang disediakan, selain daripada bahan makanan steamboat, ia juga menyediakan pelbagai jenis makanan tambahan sebagai pencuci mulut seperti ais krim, cendol, laksa dan buah-buahan.
Buat para muslim, tidak perlu bekejar-kejar untuk makan dan solat kerana restoran ini menyediakan kemudahan surau. Restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam.
13. Restoran D’Lengkuas
Seperti Warung Pokdi Kelate, Restoran D’lengkuas turut menyediakan hidangan makanan semenanjung seperti nasi campur, nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Restoran ini dimiliki oleh seorang anak jati Kelantan yang menetap di Sabah dan harga yang ditetapkan adalah berpatutan dengan kualiti rasa dan kuantiti makanan yang diambil.
Jika anda seorang yang ingin menikmati hidangan semenanjung sewaktu berada di Sabah, tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini merupakan satu destinasi utama yang perlu anda lawati. Restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 6.30 pagi hingga 12 tengah malam.
14. Todak Waterfront Seafood Market
Jika anda inginkan variasi selain dari pasar Filipina untuk menikmati hidangan makanan laut, Todak Waterfront Seafood Market adalah merupakan destinasi yang tidak kurang hebatnya dalam menyediakan hidangan makanan laut pada harga yang agak murah.
Ia terletak berhampiran dengan pasar Filipina namun buat sesetengah pengunjung, suasana persekitarannya adalah agak meriah berbanding dengan pasar Filipina. Anda boleh memilih makanan laut yang biasaannya dinikmati oleh orang semenanjung seperti ikan merah, udang sotong lain lagi.
Anda juga boleh merasai kenikmatan makanan yang jarang dimakan oleh orang semenanjung berikutan harganya yang mahal (tetapi murah di sini) seperti Lobster. Biasanya, kawasan ini mula aktif pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari.
15. Gayang Seafood Restaurant
Restoran ini terletak 33 km dari bandar Kota Kinabalu namun ia merupakan satu destinasi yang perlu anda kunjungi berikutan hidangan makanan lautnya yang berkualiti tinggi dan pada harga yang berpatutan.
Antara makanan yang menjadi tumpuan para pengunjung adalah ketam masak Kam Heong, sup isi ketam, lobster masak butter dan udang steam.
Restoran ini beroperasi setiap hari khamis sehingga hari selasa pada pukul 11 pagi hingga 10 malam.
16. Kedai Makan Santubong / Kek Lapis Sarawak
Jika anda ingin merasa hidangan masakan Sarawak, tempat makan menarik di Kota Kinabalu ini sewajarnya menjadi pilihan anda. Ia terletak di Cybercity Kepayan, Kota Kinabalu berhampiran dengan restoran Sri Bongawan. Terdapat pelbagai jenis variasi makanan yang boleh dinikmati oleh pengunjung di restoran ini dan antara makanan yang menjadi tumpuan adalah laksa Sarawak.
Buat mereka yang ingin berkunjung ke Sabah, jangan lupa untuk singgah di mana-mana di tempat makan menarik di Kota Kinabalu. Semuanya memang sedap dan menyelerakan!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah