Menu Unik Berbuka Puasa Mengikut Negara Di Seluruh Dunia
MAKANIftar atau waktu berbuka merupakan masa yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang sedang berpuasa.
Selain berbuka dengan kurma seperti yang disunnahkan oleh Nabi, orang Islam di seluruh dunia juga sebenarnya berbuka dengan pelbagai menu atau ‘signature dish’ yang hanya muncul terutama ketika menjelang bulan Ramadhan.
Jom kita tengok apa hidangan berbuka yang terkenal mengikut negara di seluruh dunia!
1. Beshbarmak – Kazakhstan
Hidangan tradisional rakyat Kazakhstan ini disebut Beshbarmak bermaksud “lima jari” dan ia dimakan menggunakan tangan.
Menu ini adalah campuran mi yang diadun sendiri bersama hirisan daging lembu, kambing atau kuda serta ditaburi dengan bawang putih.
Ia turut dilengkapi dengan semangkuk sup dan juga roti yang lebih enak dimakan bersama Beshbarmak.
2. Bubur Lambuk - Malaysia
Kalau di negara kita sendiri pastinya hidangan Bubur Lambuk menjadi menu wajib setiap kali tibanya bulan Ramadhan.
Penyediaan bubur yang biasanya dimasak secara beramai-ramai atau gotong-royong ini begitu istimewa dengan penggunaan pelbagai rempah-ratus dan ramuan herba tradisi.
Paling utama tentunya penggunaan tujuh jenis rempah iaitu jintan manis, halba, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan serbuk lada hitam.
Bahan sampingan lain yang amat penting dalam pembuatan bubur lambuk antaranya daging tetel, udang kering, bawang besar yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam secukup rasa.
Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng.
3. Luqaimat – Arab Saudi / UAE
Luqaimat adalah sejenis manisan yang digoreng seakan berbentuk donat dan disirami dengan sirap kurma.
Ia merupakan menu yang menjadi identiti di beberapa negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi serta banyak dihidangkan di hotel-hotel terkemuka negara di Timur Tengah tersebut.
4. Harira - Maghribi
Harira merupakan hidangan sup tradisional masyarakat Maghribi. Ia dimasak menggunakan tomato, kacang buncis dan kacang peas.
Nama Harira berasal dari bahasa Arab yang bermaksud “Sutera” bagi merujuk kepada tekstur sup tersebut yang sangat lembut dan halus selepas dicampur dengan telur serta gandum yang ditapai selama satu atau dua hari.
Harira lebih lazat apabila dimakan bersama ayam, lembu atau kambing.
Harira adalah hidangan popular ketika berbuka puasa sama ada di rumah, restoran dan dijual juga di jalanan.
5. Nasi Beriyani – Singapura
Nasi Beriyani merupakan menu kegemaran yang disajikan sebagai makanan berbuka puasa di Singapura.
Nasi yang dicampur dengan pelbagai jenis rempah-ratus dan dibanjiri kuah kari terasa sangat lazat apabila dimakan bersama ayam atau daging.
6. Hyderabadi Haleem - India
Di India, banyak makanan yang akan dipilih sebagai menu buka puasa tetapi salah satu yang popular tentunya Hyderabadi Haleem.
Ia merupakan hidangan bubur gandum yang dicampur dengan daging.
7. Ketam Rebus - Brunei Darussalam
Hidangan berbuka di negara yang kaya dengan hasil minyak pastinya berbeza dengan menu negara lain.
Di Brunei, hidangan popular saat berbuka puasa rakyatnya adalah ketam rebus.
8. Pide – Turki
Saat bulan Ramadan tiba, di Turki makanan yang bernama Pide akan muncul dan dimakan sebagai hidangan berbuka puasa.
Pide diperbuat daripada tepung dan diletakkan topping seperti sos, daging serta sayuran seakan-akan pizza.
9. Medames – Mesir
Warga Mesir akan memasak medames sebagai makanan buka puasa.
Medames merupakan makanan khas Mesir yang dimasak daripada campuran kacang, minyak sayur, bawang merah dan bawang putih.
10. Fesenjan – Iran
Fesenjan merupakan menu tradisional masyarakat Iran yang dimasak daripada ayam atau itik sebagai bahan utamanya.
Fesenjan ini disajikan bersama nasi putih atau kuning sebagai makanan berbuka puasa.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah