Jom Kenali Tanda-Tanda Malam Lailatulqadar!

GAYA HIDUP
May 24, 2019 - 10:49 AM


Sedar atau tidak, hanya berbaki 11 hari lagi Ramadhan akan mengucapkan selamat tinggal.

Sesungguhnya berpisah dengan bulan yang penuh keinsafan dan keampunan itu sangat memilukan.

Jika panjang umur dan mendapat keizinan Yang Maha Esa, insya-Allah, kita akan dipertemukan dengan keindahan Ramadhan sekali lagi.

Sebelum Ramadhan meninggalkan kita, apa kata kita kejar dan cari Lailatulqadar pada 10 malam terakhir ini dengan meningkatkan amal ibadah.

Walaupun tarikh dan masa tepat bagi malam Lailatulqadar dirahsiakan Allah agar kita sebagai umatnya benar-benar beramal dengan gigih, khusyuk dan ikhlas, namun ada satu janji Allah yang jamin sebagaimana difirmankan dalam Surah Al-Qadr ayat 3: "Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan"

1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun!

Ia bermaksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam jatuhnya Lailatulqadar, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Bahkan, ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.

Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita berterawih selama 83 tahun tanpa henti.

Begitu juga jika kita membaca Al-Quran, bertahajud atau berzikir, ia seumpama kita beribadah selama 83 tahun tanpa henti.

Malah, malam itu jugalah turunnya Al-Quran iaitu mukjizat terbesar buat Nabi Muhammad SAW.

SubhanaAllah, besarnya ganjaran pahala yang Allah nak hadiahkan kepada kita sebagai umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW!

TANDA-TANDA MALAM LAILATULQADAR

Bilakah malam Lailatulqadar akan muncul?

Hakikatnya, hanya ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui bilakah tarikh dan waktu sebenar.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan :-

1. Malam-malam ganjil 

Sabda Rasulullah SAW: "Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil." (Riwayat Ahmad)

Berikut malam ganjil pada tahun 2019:

Malam 21 - Sabtu (25 Mei)
Malam 23 - Isnin (27 Mei)
Malam 25 - Rabu (29 Mei)
Malam 27 - Jumaat (31 Mei)
Malam 29 - Ahad (2 Jun)

2. Malam itu bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, suasana sangat tenang, nyaman dan tenteram, tidak panas dan tidak sejuk.

3. Pada keesokan harinya selepas berlaku Lailatulqadar, disebutkan bahawa matahari terbit dengan sinaran yang tidak terlalu silau atau terlalu panas terik.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis baginda SAW: “(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Keesokan harinya cahaya sinar mataharinya seakan kemerah-merahan." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar)

4. Orang yang terbiasa menghidupkan malam-malam ramadhan pada saat turunnya malam Lailatulqadar mereka berasa ringan, nyaman dan mudah untuk beribadah.

5. Hati merasa lebih tenang di antara malam-malam lainnya.

6. Angin bertiup tenang dan tidak terlalu kencang.

7. Malam itu dipenuhi dengan taburan cahaya.

8. Anjing tidak menyalak.

9. Air laut pada saat turunnya malam Lailatul Qadar menjadi tawar dan tidak masin sebagaimana asalnya.

10. Pepohonan terlihat tawaduk seakan menundukkan ranting serta daunnya.

Namun begitu, diingatkan sekali lagi bahawa kesemua tanda-tanda ini juga hanya dirasai oleh hamba-hamba Allah yang terpilih dan dengan izinNya.

AMALAN YANG PERLU DIPERBANYAKKAN

1. Sebagai umat Islam, kita disarankan oleh Nabi Muhammad SAW untuk memperbanyakkan bacaan doa ini sebagaimana dalam sebuah hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah:

Saidatina 'Aisyah RA berkata: “Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar terjadi, apa yang harus aku ucapkan?”

Baginda SAW menjawab: “Ucapkanlah: “Ya ALLAH, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku." 

2. Hidupkanlah malam hari dengan iktikaf dan solat malam iaitu solat sunat tajahud, taubat, hajat dan sebagainya.

3. Perbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT.

4. Perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.

5. Digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.

6. Jangan terlalu sibuk membuat kuih raya atau persiapan Aidilfitri hingga terabai ibadah-ibadah khusus malam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Malam Lailatulqadar sememangnya kurniaan Allah yang terhebat!

Begitu istimewanya malam Lailatulqadar itu adalah apabila para malaikat turun untuk merayakan keberkatan dan rahmat Allah yang sangat banyak.

Malah, sebahagian mentafsirkan para malaikat turun memenuhi bumi membawa bersama rahmat serta mendoakan untuk semua hamba yang beribadah dengan penuh keimanan.

Malaikat turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

Jadi, semoga kita istiqamah menghidupkan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan ini dan insya-Allah malam Lailatulqadar menjadi milik kita semua!

 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah