6 Lokasi Cun Ambil Gambar Ala Insta-Famous Jika Bercuti Ke Pulau Belitung
JALAN-JALANSeptember 23, 2019 - 12:06 PM
Tidak dinafikan destinasi percutian di Sumatera, Indonesia iaitu Pulau Belitung semakin terkenal dalam kalangan pelancong luar adalah kerana penangan filem Laskar Pelangi.
Filem yang digarap berdasarkan novel tulisan penduduk tempatan Pulau Belitung sendiri iaitu Andrea Hirata sememangnya telah mendapat sambutan hangat dan ramai yang mengimpikan untuk melihat sendiri keindahan pulau berkenaan seperti di dalam filem itu.
Jika anda salah seorang yang mempunyai perancangan untuk bercuti ke Pulau Belitung, jangan lupa untuk singgah merakamkan kenangan di beberapa lokasi cantik ini, dijamin foto anda bakal meletop seperti gambar-gambar Instafamous.
1. Tasik Kaolin
Kalau anda ke Belitung, rugi sekiranya tidak melawat ke Tasik Kaolin yang airnya jernih seakan berwarna biru turquoise hingga mendapat nama jolokan Tasik Biru Belitung.
Tasik ini pada asalnya merupakan sebuah lombong tanah liat putih atau kaolin yang terbiar. Kaolin merupakan sejenis mineral yang selalu digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan farmaseutikal, seramik dan ubat gigi.
Lokasi ini sememangnya sangat tenang dan mendamaikan, serta ramai yang ke sini untuk bersantai menenangkan fikiran. Jika anda ke sini jangan lupa untuk mengabadikan kenangan dengan berlatarbelakangkan air tasik biru yang cantik ini.
2. Kelapa Kampit
Satu lagi contoh bagaimana lombong terbiar boleh menjadi tasik yang indah ialah Kelapa Kampit. Dengan kedalaman 30 hingga 50 meter, air tasik di sini juga berwarna biru turquoise dan boleh menjadi lanskap yang cantik serta unik untuk gambar Instagram anda.
3. Rumah Api
Pulau Belitung juga popular dengan pemandangan Rumah Api setinggi 50 meter yang dibina pada tahun 1882 oleh penjajah Belanda dan terletak di Pulau Lengkuas.
Dari puncak Rumah Api tersebut, anda dapat melihat pemandangan udara Belitung. Jika inginkan pengalaman yang lebih unik, anda juga boleh bermalam di dalam khemah bersama rakan-rakan setelah mendapatkan kebenaran daripada pihak yang menjaga Rumah Api tersebut.
4. Pulau Batu Garuda
Jika anda ternampak sebuah batu granit yang berbentuk seakan burung garuda, ia bererti anda telah sampai ke Pulau Batu Garuda Belitung.
Susunan semulajadi batu-batu di sini sudah cukup untuk membuatkan foto kenangan anda terlihat sangat cantik dan menarik.
Selepas bergambar, anda juga boleh cuba aktiviti snorkelling di sini.
5. Muzium Andrea Hirata
Muzium ini sememangnya didedikasikan kepada pengarang terkenal Indonesia yang juga anak kelahiran Pulau Belitung iaitu Andrea Hirata, yang popular dengan novel Laskar Pelangi hingga diadaptasi menjadi filem serta diterbitkan dalam pelbagai bahasa.
Luaran muzium ini yang dibina dan dihiasi dengan cat berwarna-warni seakan pelangi sudah pasti menjadi spot Instagrammable yang sangat menarik untuk foto anda.
Muzium ini sememangnya syurga buat si ulat buku kerana di sini turut dipamerkan koleksi novel-novel Andrea dan juga barangan peribadinya.
6. Warung Kopi Anoi
Bandar Belitung iaitu di Manggar, Belitung Timur terkenal sebagai sebuah destinasi untuk menikmati kopi tradisional Belitung.
Jika ke sana, anda akan dapati banyak deretan warung-warung kopi atau disebut masyarakat tempatan sebagai Warkop untuk anda singgahi.
Antara warkop yang cantik untuk dirakamkan sebagai gambar di Instagram tentunya Warung Kopi Anoi yang telah beroperasi sejak tahun 1982.
Di sini, anda jangan lupa untuk pesan kopi susu es atau kopi hitam asli Indonesia yang hanya berharga 5,000 Rupiah atau RM1.50 segelas. Murah, kan!!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah