Wow, 5 Hotel Unik Di Bali Ini Confirm Buat Cuti Korang Gempak!
HOTELFebruary 07, 2020 - 05:48 PM
Ketika sedang bercuti, pastinya kita akan menempah hotel sebagai tempat penginapan dan istirehat.
Namun jika kita memilih hotel yang unik dan berkonsepkan lain daripada lain, pastinya ia bakal menawarkan pengalaman yang lebih sensasi serta kenangan manis yang tidak dapat dilupakan untuk seumur hidup.
Sekiranya korang bercuti ke Bali, Indonesia --- ada 5 hotel unik bermula tidur di dalam bubble atau buih hingga ke gaya safari Afrika yang boleh korang pilih untuk menginap bersama yang tersayang atau kawan-kawan.
1) BUBBLE HOTEL, ULUWATU
Pernahkah tak korang bayangkan untuk menginap di dalam sebuah hotel yang berbentuk seakan gelembung buih atau bubble? Jika ya, korang patut memilih Bubble Hotel, Bali.
Setiap bilik di hotel unik ini dibina secara transparent dengan hiasan langsir yang membentuk seperti gelembung udara atau belon.
Selain konsepnya yang unik, Bubble Hotel yang terletak di Uluwatu ini juga menawarkan pemandangan yang sangat menarik berlatarbelakangkan keindahan pulau Bali dan hanya sekitar 10 meter sahaja daripada pasir putih pantai.
Setiap bilik di sini boleh memuatkan 2 orang, tetapi kalau korang datang secara berkumpulan bilik-bilik tersebut boleh diubahsuai dengan 3 bilik disusun secara berdekatan untuk keselesaan para tetamu.
Bagi yang ingin rasa pengalaman menginap di Bubble Hotel, harga untuk satu malam bermula dari 800 ribu Rupiah atau RM242.
2. NEW EARTH HAVEN ECO DOME, GIANYAR
Ingin berada lebih dekat dengan alam? Korang boleh cuba untuk menginap di NewEarth Haven Eco Dome.
Hotel ini menawarkan penginapan di dalam sebuah kubah bertingkat di tengah-tengah kehijauan alam di bumi Bali.
Hotel yang terletak di Tegallalang, Gianyar, Bali ini mampu memberi ketenangan serta kedamaian kepada tetamunya dan pastinya sangat sesuai buat mereka yang sedang ingin melepaskan tekanan daripada segala bebanan kerja seharian.
Pada waktu malam, korang boleh berbaring dan menikmati keindahan pemandangan bintang-bintang di langit menerusi puncak kubah biliknya.
Jika bersantai di tepi jendela, korang berpeluang merehatkan mata dengan melihat kehijauan sawah padi dan hutan di sekeliling hotel tersebut.
Harga bilik di NewEarth Haven Eco Dome untuk semalam adalah sekitar 1.1 juta Rupiah atau RM333.
3. MARA RIVER SAFARI LODGE, GIANYAR
Siapa dekat sini yang sukakan dunia safari Afrika dan pencinta haiwan?
Kalau ya, Mara River Safari Lodge yang terletak di Gianyar, Bali ini adalah lokasi penginapan paling sesuai untuk memenuhi jiwa korang tu.
Terletak di Bali Safari dan Marine Park, resort ini dijamin akan memberikan pengalaman menginap yang berbeza dan takkan terlupakan.
Ini kerana bermalam di sini adalah umpama korang menginap dan bercuti sambil ditemani oleh kumpulan haiwan liar seperti zebra, badak sumbu, gajah bahkan Raja Rimba iaitu singa.
Kalau korang makan malam di restorannya iaitu Tsavo Lion Restaurant korang siap boleh melihat sendiri singa lalu-lalang di situ. Menarik kan?
Kadar sewa untuk satu malam di resort ini bermula 2.8 juta Rupiah atau RM846 untuk bilik Swala Deluxe.
4. SHARMA SPRINGS BAMBOO HOUSE GREEN VILLAGE, UBUD
Hotel unik lain yang boleh korang pilih saat berlibur di Bali adalah Sharma Springs Bamboo House yang berkonsepkan binaan diperbuat daripada buluh.
Hotel yang terletak di Ubud, Bali ini bukan sahaja menawarkan pemandangan yang indah dan sejuknya udara dari pergunungan, tetapi segala kemudahan di sini berkonsepkan mesra alam.
Dibina setinggi 6 tingkat, Sharma Springs Bamboo House memiliki empat bilik tidur dengan fasiliti lengkap seperti dapur, perpustakaan, ruang bermain untuk anak-anak serta kawasan barbeku.
Untuk menginap di sini, harga yang ditawarkan adalah sekitar 4.4 juta Rupiah satu malam atau RM1,329.
5. SANDAT GLAMPING TENTS, UBUD
Istilah glamping atau 'glamorous camping' sangat tepat untuk menggambarkan suasana yang akan korang dapati sekiranya memilih untuk menginap di Sandat Glamping Tents.
Sandat Glamping Tents menawarkan tempat liburan mewah namun unik di Ubud.
Menampilkan rekaan mewah dengan kolam renang peribadi, ia juga dilengkapi dengan Wifi percuma, iPod dock, mini bar dan banyak lagi.
Kalau bosan menghabiskan waktu di dalam bilik, korang boleh juga jalan-jalan ke Pasar Ubud dan Puri Ubud yang jaraknya sekitar 2 hingga 3 km sahaja.
Harga di Sandat Glamping Tents bermula 2.7 juta Rupiah satu malam atau RM815.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah