Gua Terbesar Di Dunia Rupanya Ada Di Vietnam Je. Nak Masuk Kena Tunggu Giliran Sampai 2 Tahun!
JALAN-JALANFebruary 17, 2020 - 12:18 PM
Vietnam merupakan sebuah negara yang kaya dengan landskap semulajadi menakjubkan -- dari hijaunya teres sawah padi bukit seperti di Sapa, gua batu kapur yang cantik seperti di Ha Long Bay dan aliran sungai yang mempesonakan seperti di Delta Mekong.
Jadi tak hairanlah, kalau ramai pelancong yang memang sukakan keindahan alam semulajadi pastinya memilih Vietnam sebagai destinasi percutian mereka saban tahun.
Tetapi, tahukah anda bahawa Vietnam juga sebenarnya memiliki sebuah gua yang terbesar di dunia?!
Ya, gua paling besar di dunia yang pernah ditemukan setakat ini terletak betul-betul di tengah-tengah Taman Negara Phong Nha-Ke Bang, daerah Quang Binh dan ia dinamakan sebagai GUA HANG SOON DOONG!
Gua yang dilindungi oleh UNESCO ini mempunyai panjang lebih daripada 7 kilometer dengan ketinggian sekitar 200 meter. Malah gua utamanya sahaja sudah cukup besar untuk menempatkan seluruh penduduk di New York City, Amerika Syarikat!
Apa yang lebih menarik adalah Gua Hang Soon Doong ini juga memiliki iklim dan ekosistemnya sendiri seperti hutan serta sungai yang mengalir di dalamnya.
Di dalamnya turut tergantung stalagmit pada ketinggian 262 kaki atau 80 meter dan ia adalah yang terbesar pernah ditemui manusia.
Gua yang berusia jutaan tahun ini, ditemui buat pertama kali pada tahun 1990 oleh seorang lelaki tempatan bernama Ho Khanh yang ketika itu sedang mengembara ke dalam hutan di Taman Negara tersebut bagi mencari makanan dan kayu-kayan untuk dijual.
Untuk sampai ke gua ini, anda perlu melalui satu-satunya kampung yang terletak di dalam Taman Negara Phong Nha Ke-Bang yang didiami oleh kurang daripada 40 buah keluarga minoriti etnik Ban Doong.
Selepas itu, anda perlu mendaki dan meredah hutan sejauh 50 kilometer untuk sampai ke Gua Hang Soon Doong yang mana ia memerlukan masa selama 2 hari.
Setibanya di gua tersebut segala penat lelah itu akan lenyap sebaik mata terpesona dengan keindahan struktur gua persis seperti penggambaran ekspedisi filem Barat.
Anda boleh merasai pengalaman yang jarang dilakukan oleh orang lain iaitu berkhemah di dalam gua tersebut.
Untuk pengetahuan anda, Kerajaan Vietnam hanya mengeluarkan antara 300-500 sahaja permit kemasukan ke gua tersebut setiap tahun.
Atau dalam kata lain, hanya 10 orang sahaja dibenarkan ke sana untuk setiap kali kunjungan.
Lawatan pula dijalankan sekali seminggu untuk setiap tahun iaitu antara bulan Februari dan Ogos.
Jadi untuk mendapatkan giliran kunjungan, anda perlu bersabar kerana difahamkan ketika ini senarai menunggu adalah sehingga 2 tahun untuk sampai ke giliran masing-masing.
Sebab itu, sehingga kini hanya sekitar 900 orang sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke gua terbesar di dunia itu!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah