Tips Bekerja Dari Rumah Yang Boleh Tingkatkan Produktiviti

GAYA HIDUP
March 18, 2020 - 10:36 AM


Mulai hari ini, dan ada sesetengah syarikat yang telah mulakan polisi Work From Home atau bekerja dari rumah dan usaha ini dilakukan bagi mengurangkan penyebaran coronavirus selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan pihak kerajaan yang berkuatkuasa hari ini.

Untuk mereka yang pertama kali atau jarang melakukan pekerjaan dari rumah, pastinya agak janggal dan perkara pertama yang dikhuatirkan semestilah prestasi atau produktiviti perkerjaan  yang dilakukan.

Ada beberapa tips yang boleh dilakukan bagi memastikan anda kekal produktif sepanjang hari tanpa pengawasan dan ini pastinya akan memastikan pekerjaan akan lebih teratur dan setidaknya kita berjaya menyiapkan dan melakukan tanggungjawab sebagai pekerja.

#1. Pakai Pakaian Selesa

Semestinya, salah satu perkara yang tidak perlu ‘dipeningkan’ adalah memilih atau menggosok pakaian untuk ke pejabat dan mungkin ada yang masih berbaju tidur seperti hujung minggu.

Untuk meningkatkan produktiviti; salah satu tipsnya adalah mengenakan pakaian yang selesa dan lakukan rutin harian yang biasanya dilakukan pada hari bekerja. Sebagai contoh, bangun pagi, siap awal dan mungkin mengenakan solekan.

Apa yang penting, anda harus lakukan perkara rutin yang dilakukan pada hari bekerja. Ini akan memastikan otak anda menerima isyarat yang anda perlu bekerja dan bukan bersuka – ria di rumah.

 

#2. Sediakan Ruang Bekerja Khas

Mungkin sesetengah daripada anda selesa bekerja di meja makan, duduk di sofa dan sebagainya tetapi anda akan jadi lebih produktif sekiranya di rumah anda ada ruang khas untuk bekerja.

Lebih bagus sekiranya ia merupakan sebuah bilik berasingan atau ruangan ‘pejabat’ kecil dirumah yang mana anda boleh menutup pintu. Ini secara tidak langsung akan mengelakkan gangguan dari anak – anak, atau mungkin rakan serumah anda.

Jika tidak mempunyai bilik, setidaknya sediakan satu ruangan yang kemas, tidak bersepah. Ini pastinya akan meletakkan anda di dalam ‘zon’ bekerja.

 

#3. Disiplin Dan Tetapkan Waktu Bekerja

Sekiranya anda mempunyai waktu yang tetap untuk ‘masuk’ kerja, berehat dan pulang, pastikan anda mengikuti masa tersebut. Misal kata, biasanya kerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang, pastikan anda mengikuti masa dan waktu yang sama di rumah.

Jika tidak boleh ikut sepenuhnya (Atas sebab perlu menguruskan anak dan sebagainya), setidaknya anda ada tetapkan dan ikut waktu yang ditetapkan. Untuk memudahkan anda dan mengekalkan produktiviti, sediakan blok masa. Misalnya blok pertama dan terakhir untuk buka e-mail, blok kedua untuk membuat penggilan dan sebagainya.

 

#3. Fokus Kepada Hasil Kerja

Tidak dapat dinafikan, ada antara anda akan hilang tumpuan dan tidak meletakkan usaha 100% seperti mana bekerja di pejabat tetapi apa yang utama ialah pastikan matlamat anda tercapai.

Menurut sebuah siaran podcast, Worlkationing, ramai antara kita akan cuba ‘mengelat’ ketika bekerja dari rumah kerana berasa tidak diperhatikan. Apa yang disarankan adalah; sediakan senarai matlamat anda atau senarai to do list anda untuk hari berkenaan. Pastikan kesemuanya selesai menjelang petang.

 

#4. Makan Makanan Berkhasiat

Dalam masa bekerja dari rumah dan musim ‘pembelian panik’ tempoh hari, pastinya ramai atau mungkin ada yang membeli snek yang banyak untuk dijadikan jajan sepanjang tempoh work from home ini.

Perlu diingatkan, makanan yang tidak sihat turut memainkan peranan dalam membekalkan tenaga dan menetapkan mood anda. Pemakanan yang betul juga mampu meningkatkan sistem imunisasi badan.

Rancanglah pemakanan anda sama seperti perancangan anda di pejabat. Kunci utama adalah kekalkan dengan rutin yang sama.

 

#5. Jadualkan Pangilan Kepada Rakan Sekerja

Salah satu perkara yang sukar dan mencabar ketika tempoh work from home ini adalah menguruskan pasukan atau pekerja. Jika di pejabat, bolehlah anda bertanyakan status atau perkembangan pekerjaan yang sedang dilakukan, tapi jika berada di rumah, sudah tentu ia menjadi sesuatu yang sukar.

Secara teori, kita ada pelbagai teknologi yang boleh digunakan bagi tujuan ini, antaranya panggilan video menggunakan Skype mahupun Whatsapp. Namun, perlu diingatkan juga yang ada antara mereka terikat dengan tanggungjawab menguruskan rumah seperti menjaga anak dan sebagainya, jadi sebagai ketua, harus memainkan peranan yang baik ketika ini.

 

#6. Kurangkan Gangguan

Antara cabaran utama bekerja dari rumah ini pastinya gangguan – gangguan yang bakal menjejaskan produktiviti dan pekerjaan.

Paling utama, jangan buka media sosial mahupun apa – apa yang bakal menganggu tumpuan anda bekerja.

Nota Editor : Tips yang diberikan ini hanyalah guideline, apa yang pasti, anda bekerjalah sesuai dengan kemampuan dan keselesaan anda sendiri. Yang penting, menjelang pukul 6 nanti, semua kerja yang patut selesai, berjaya diselesaikan.

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah