Kambing Biri-Biri Kashmir Jadi 'Pelancong' Di Bandar Peranginan UK
VIRALJika kebiasaannya bandar peranginan di Llandudno, utara Wales, United Kingdom ini sering menjadi tumpuan pelancong tempatan untuk beriadah, namun kini kawasan itu telah menjadi 'taman permainan' pula untuk ratusan kambing biri-biri.
Akibat larangan keluar rumah kepada penduduknya bagi mengelak penularan COVID-19, sejak beberapa hari lalu bandar tersebut seolah-olah telah 'ditakluki' oleh haiwan berkenaan yang dilihat memenuhi jalan raya utama dan kawasan kejiranan.
Gulf News melaporkan, kambing Kashmir itu kebiasaannya bergerak bebas di kawasan lapang berhampiran Laut Ireland, namun kini mengembara ke Llandudno sejak tiga hari lalu untuk meragut rumput dan memakan tanaman lain.
Ahli majlis perbandaran Llandudno, Carol Marubbi berkata, kehadiran kambing berkenaan bukan sesuatu yang biasa kerana haiwan itu hanya memenuhi bandar itu jika cuaca tidak menentu.
“Dalam keadaan ini, saya beranggapan ketiadaan orang ramai di bandar menarik perhatian haiwan itu untuk datang memenuhi kawasan ini,” katanya.
Marubbi berkata, dianggarkan 150 kambing berkeliaran di bandar berkenaan yang turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan kebanyakan penduduk tidak kisah dengan kehadiran haiwan itu.
Gambar kambing memenuhi bandar itu dan berehat di kawasan lapang menarik perhatian masyarakat tempatan ketika jutaan manusia kini terpaksa berkurung di rumah masing-masing.
“Saya sukakan kambing ini kerana karakter haiwan itu. Dengan jutaan orang kini berkurung di dalam rumah, namun kambing ini bebas berada di jalanan,” kata seorang individu di media sosial.
Selain itu, gambar haiwan berkenaan juga hangat diperkatakan di Twitter dengan ada individu yang mewujudkan tanda pagar with #goats dan #Llandudno.
Setakat semalam, United Kingdom (UK) merekodkan lebih 29,000 kes Covid-19 dengan lebih 2,300 kematian.
Sumber: Harian Metro
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah