COVID-19: Resort Percutian Mewah Di Sepanyol Bertukar Menjadi Tempat Perlindungan Pelarian
VIRALApril 06, 2020 - 02:40 PM
Jika sebelum ini biasanya sebuah resort percutian mewah di Timur Madrid, Sepanyol dipenuhi dengan pelancong, menjadi lokasi perkahwinan romantik pasangan dari seluruh dunia dan berlangsungnya beberapa mesyuarat perniagaan -- namun sejak berlaku pandemik COVID-19, ia kini bertukar menjadi tempat berteduh bagi golongan pelarian Venezuela dan orang-orang yang kehilangan tempat tinggal.
Disebabkan resort terpaksa ditutup dan ditamatkan operasi berikutan penularan wabak koronavirus yang turut melanda Sepanyol, pemilik resort La Ciguena telah bermurah hati menawarkan tempat penginapan kepada beberapa keluarga susah dan pelarian termasuk seorang ibu yang sarat mengandung 8 bulan bernama Stephanie Paez.
Setakat ini, resort mewah tersebut memberikan perlindungan kepada 12 buah keluarga termasuk 65 kanak-kanak.
Di resort ini, setiap pelarian bukan sahaja mendapat bilik penginapan yang selesa, malah mereka turut diberikan hidangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam di ruangan makan yang besar bagi menjaga penjarakan sosial sambil menikmati pemandangan tasik yang cukup indah.
Menurut Pengurus Resort La Ciguena, Miguel Angel Carnero, meskipun kebanyakan kakitangan resort terpaksa diberhentikan sementara, namun mereka tetap hadir untuk membantu pelarian itu secara sukarela apatah lagi di saat-saat dunia berdepan krisis pandemik COVID-19.
Untuk rekod, situasi semasa jangkitan wabak di Sepanyol semakin memburuk kerana sehingga ke hari ini (6 April) -- negara itu telah mencatatkan jumlah kes COVID-19 kedua paling tinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dengan 131,646 kes dan merekodkan sebanyak 12,641 kematian juga yang kedua tertinggi selepas Itali.
Sumber: Reuters
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah