Real Giler! Jom Jalan-Jalan Hong Kong, Pakai VR Je!

JALAN-JALAN
May 19, 2021 - 01:43 PM


Bila bercakap tentang melancong ke luar negara je, Min sedih, sebab tak tahu bila lah yang akhirnya kita akan diumumkan boleh melancong ke luar negara, ataupun kita lancarkan gelembung pelancongan dengan mana-mana negara. 

Kalau nak tengok passport, passport pun dah reput. Tapi, kalau nanti kita dah dibenarkan untuk melancong ke luar semula, cop dari negara mana yang korang nak dapatkan dulu pada passport korang? Haa, kalau ada yang berangan nak ke Hong Kong, korang dah tak perlu tunggu lama sebab korang boleh berjalan-jalan di Hong Kong secara maya dahulu. Lepas ni kalau korang ke Hong Kong, korang dah boleh jadi tour guide sendiri. 

Hong Kong Tourism Board baru-baru ini melancarkan 360 Hong Kong Moments sebagai inisiatif global untuk mereka yang lama idamkan untuk ke Hong Kong, ataupun untuk korang yang dah lama rindukan Hong Kong. Video VR 360 Moments Hong Kong akan bawa korang jalan-jalan sekitar Hong Kong untuk melihat pemandangan dan tempat-tempat yang menarik. Paling syok, siap ada suara latar yang akan tolong korang belajar tentang Hong Kong. 

Kalau korang tak ada VR kit, sebenarnya video-video tersebut adalah dalam format 360, korang pusing-pusing je dengan jari, atau gerakkan telefon. Tapi, kalau ada VR kit, memang best gila! 

Ini dia antara tempat-tempat yang korang boleh pergi: 

1.Urban Jungle – Quarry Bay

Quarry Bay ni kawasan yang terletak di timur Pulau Hong Kong. Ianya digelar sebagai Urban Jungle sebab kawasan ni memang padat dengan kompleks kediaman yang digelar 'monster building'. Quarry Bay ialah antara spot bergambar kegemaran pelancong kerana gambar berlatar belakangkan bangunan-bangunan kat sini memang insta-worthy gila!

2. Victoria Harbour – Causeway Bay Typhoon Shelter

Kalau korang tak tahu, Victoria Harbour ni pelabuhan terbesar di Asia, dan ketiga terbesar di dunia ya! Kapal kargo, Star Ferries, kapal pesiaran, kapal nelayan, sebut je kapal apa, semua ada. Disebabkan itu, Victoria Harbour merupakan antara pelabuhan paling sibuk di dunia. 

3. Ding Ding Tram – Hong Kong Island

Sama macam kalau korang ke Pulau Pinang, korang wajib naik Bukit Bendera, ke Hong Kong korang wajib naik Ding Ding Tram, sebuah trem dua tingkat yang menjadi ikon bandar Hong Kong dan pengangkutan kegemaran pelancong untuk melihat lanskap bandar itu. 

Namanya Ding Ding sebenarnya diberikan oleh penduduk tempatan kerana honnya yang berbunyi "ding-ding". 

4. Thrilling Nights – City Hall Carpark

Hong Kong memang terkenal dengan bangunan tinggi yang padat dan pemandangan lampu-lampu yang menakjubkan pada waktu malam. Jadi kalau ke Hong Kong, malam-malam kena jalan-jalan dulu, jangan tidur je kat hotel, rugi. 

Di dalam video 360 yang ni korang boleh tengok persembahan teater dan muzikal di Hong Kong City Hall. 

5. City vs Nature – The Peak, Bowen Road, Wanchai dan Causeway Bay roundabout

Macam tak percaya kan yang bandar Hong Kong yang terkenal sebagai hutan konkrit ni sebenarnya 75% alam semulajadi dan tumbuhan hijau. 

Kalau ke Hong Kong dan korang nak tengok kehijauan, korang kena pergi ke The Peak yang membolehkan korang menikmati pemandangan dan kehijauan sambil menghirup udara segar. 

6. Aktiviti luar yang menarik – Lion Rock, Wang Chau, Sai Kung, Tai O dan banyak lagi

Puas dengan kesibukan bandar, 360 Hong Kong Moments juga akan membawa korang keluar dari keriuhan dan ke tempat-tempat berkonsepkan alam, untuk korang lakukan aktiviti luar. Selain itu, dorang turut sertakan sekali lokasi terkenal untuk rasa makanan autentik Hong Kong.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah