Melaka, Genting Highlands, Tioman Dibuka Untuk Pelancongan Mulai 1 Oktober
VIRALFuh! Dah makin banyak tempat yang buka, tak perlu semua berkerumun di Langkawi, hehe.
Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet hari ini selepas melihat perkembangan positif Projek Rintis Gelembung Pelancongan di Pulau Langkawi.
Katanya, keputusan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
"Dalam tempoh dua minggu, destinasi ini akan bersiap sedia untuk beroperasi semula.
"Kementerian bersama Jawatankuasa Khas akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas esok membabitkan ujian saringan memandangkan Melaka agak besar.
"Kementerian juga akan membentangkan tambahan destinasi pelancongan lain yang bukan hanya tertumpu di pulau tetapi di tanah besar," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam sidang media sama, Ahmad Faizal berkata, kementeriannya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar membuka stadium bola sepak dan sukan lain kepada orang awam.
Beliau berkata, pembukaan itu kelak akan merancakkan semula aktiviti sukan di dalam negara.
"Kementerian akan berusaha untuk membuka lebih banyak lagi aktiviti sukan seperti gimnasium dan boling baru-baru ini.
"Apa yang penting pembukaan sektor sukan lebih banyak ini perlu datang dengan tanggungjawab terhadap SOP oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah