Pelancong Antarabangsa Bakal Dibenarkan Melancong Semula Ke Bali

JALAN-JALAN
October 13, 2021 - 04:01 PM


Pulau peranginan Indonesia, Bali bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa pada Khamis.

Sebanyak 8,000 bilik di 35 hotel tiga hingga lima bintang telah disediakan untuk kegunaan kuarantin dan penginapan semasa pelancong antarabangsa berada di pulau itu, kata Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia Hariyadi Sukamdani.

"Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang dengan kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus," kata Sukamdani.

Perkembangan itu berlaku berikutan penurunan ketara kes COVID-19 baharu harian Indonesia dalam beberapa hari terakhir.

Dengan kelonggaran sekatan pergerakan awam itu, pusat beli-belah, pawagam dan restoran dibenarkan kembali beroperasi. Kerajaan turut mempercepat program vaksinasi.

Sementara itu, 99 peratus penduduk Bali telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan 80 peratus telah mendapat dos kedua.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan mengatakan pelancong asing yang datang dari negara-negara dengan kadar positif COVID-19 kurang lima peratus dan mereka yang telah diberi vaksin lengkap COVID-19 dibenarkan berkunjung ke Bali.

Selagi ujian COVID-19 mereka negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Indonesia dan mempunyai bukti tempahan penginapan, para pelancong dibenarkan mengunjungi Indonesia.

"Mereka hanya perlu menjalani lima hari kuarantin, berbanding lapan hari sebelum ini," kata Pandjaitan.

"Jika keputusan ujian PCR pada hari keempat adalah negatif, mereka dibenarkan meninggalkan tempat kuarantin pada hari kelima."

Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, setiap pelancong diminta untuk melakukan pemeriksaan fizikal, antaranya ujian reaksi polimerase berantai (PCR).

Lapangan terbang ini telah menyediakan bilik ujian PCR dengan kapasiti 3,840 ujian setiap hari.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah