Singapura: Wanita Demand "Cakap Elok-Elok Dengan Orang Kaya" Didenda
VIRALBoleh ke diminta dilayan dengan berbeza semata-mata kerana dia lebih kaya? Kan dah kena denda...
Selepas ditangkap menyalakan rokok di luar Kawasan Dibolehkan Merokok (DSA) di Orchard, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen menghamburkan komen kasar terhadap seorang pegawai penguat kuasa yang meminta pegawai itu ‘bercakap baik-baik dengan orang kaya’ dan memanggil pegawai itu ‘perempuan gila’.
Kedua-dua wanita tempatan berusia 50 tahun itu masing-masing didenda S$3,000 (RM9,259) selepas mengaku bersalah mengganggu seorang penjawat awam.
Mahkamah diberitahu kedua-dua rakan itu merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.
Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai pegawai penguat kuasa, sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerja apabila beliau ternampak kedua-dua tertuduh merokok di luar kawasan ditetapkan.
Kedua-dua pegawai itu menghampiri wanita tersebut dan meminta butiran mereka untuk mengeluarkan saman.
Ketika Asyikah memasukkan butiran Kam Fah ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, tertuduh berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa”.
Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.
Lee Yen yang kemudian menurut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”.
Dia juga menuduh Asyikah ‘gadis gila’ yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.
Kam Fah kemudian mengeluarkan sekeping nota S$1,000 dan melayangkan di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut. Semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Asyikah.
Pegawai Pendakwa Negara, Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu. Beliau memberitahu mahkamah serangan lisan ‘meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa’, yang sekadar menjalankan tugasnya.
Kedua-dua wanita berkenaan, yang tidak diwakili peguam dalam mengemukakan rayuan berkata, mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah