Mak Cik Saadiah, Wanita Inspirasi Iklan Raya Saji 2021 Sudah Tiada

VIRAL
September 07, 2021 - 12:16 PM


Wanita yang menghantar makanan ke IPD Gerik setiap hari selama 37 tahun bagi mengubat rindu pada suami kini sudah tiada...

Selepas 37 tahun menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hampir setiap hari kecuali sakit, Saadiah Abdullah meninggal dunia semalam.

Menjadi rutin bagi Saadiah, 84, yang juga balu anggota polis menghantar makanan ke IPD Gerik sebagai mengenang arwah suaminya, Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai itu.

Kisah Mak Cik Saadiah adalah kisah yang menjadi inspirasi kepada iklan raya Saji 2021 yang tular bulan Ramadhan 2021. 

Saadiah yang mesra dipanggil Mak Cik Saadiah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik jam 12.40 tengah hari semalam selepas beberapa hari dimasukkan ke wad akibat sakit tua, dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik jam 5.30 petang semalam.

Anak bongsunya, Wan Jelani Alias, 51, berkata, biarpun bersedih, timbul sedikit perasaan berbesar hati apabila arwah 'pergi' dalam keadaan rakyat Malaysia masih menyambut Hari Kebangsaan.

"Pada kami, emak juga seorang wira kerana walaupun keadaan usia dia sebegitu namun tetap sanggup kayuh basikal sejauh lima kilometer untuk menghantar makanan kepada anggota polis selepas kematian ayah.

"Sepanjang hayatnya, emak tidak pernah melupakan pengorbanan dan sejarah perjuangan arwah ayah. Dia adalah perwira sebenar di hati kami.

"Selain menzahirkan kasih sayang dan kesetiaan kepada arwah ayah, emak secara tidak langsung tunjukkan bahawa dia sangat menghargai petugas keselamatan, jadi sebab itu bila arwah ayah sudah meninggal pun dia masih menghantar makanan kepada polis di balai berkenaan," kata Wan Jelani. 

Wan Jelani yang juga seorang pesara tentera berkata, Allahyarham ibunya banyak mendiamkan diri sejak disahkan menghidap angin ahmar kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, Mak Cik Saadiah terjatuh di bilik mandi dan keadaan kesihatannnya merosot sejak itu, dan sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital sejak beberapa minggu yang lalu. 

Rutin Saadiah mengayuh basikal dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik setiap hari bagi menghantar makanan kepada petugas di situ pernah tular pada 2012, namun Saadiah berhenti sementara menghantar makanan selepas terjatuh basikal. Kemudian, menyambung kembali aktiviti itu sejak Mei 2017 namun menggantikan makanan berbentuk nasi dan lauk pauk dengan gula-gula dan makanan ringan dengan membonceng motosikal ditunggang anaknya.

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah