Pemburuan Tamat, Sajat Ditahan Dalam Kondo Mewah Di Bangkok, Guna Taktik Berniqab

VIRAL
September 20, 2021 - 12:54 PM


Setelah sekian lama diburu, Sajat akhirnya ditemui dan ditahan di sebuah kondo mewah di Bangkok, Thailand bersama seorang lagi lelaki berpewatakan wanita. 

Misteri 'kehilangan' usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa Thailand selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

DIJAMIN RAKAN DARI MALAYSIA

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

"Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

"Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat," katanya.

Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

"Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari," katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

"Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

"Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya," katanya.

LOLOS KE THAILAND DENGAN TAKTIK BERNIQAB

Polis mendedahkan bahawa Sajat telah menggunakan taktik memakai purdah dan niqab bagi mengelakkan dirinya dikesan oleh pihak berkuasa ketika cubaan meloloskan diri.

Sajat telah mengenakan pakaian sebegitu serta dibantu oleh seorang lelaki untuk melarikan diri dari rumahnya di Petaling Jaya, ke kawasan sempadan sebelum lolos ke Thailand.

Skuad Khas Harian Metro telah menjejaki semua laluan digunakan Sajat yang dipandu arah lelaki tersebut selepas dilaporkan menerima upah sebanyak RM20,000.

TUNGGU KEBENARAN PINDAH KE AUSTRALIA

Nur Sajat kini didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.

"Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.

"Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

"Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok," katanya.

Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

"Beberapa urusan berkaitan perpindahan Nur Sajat juga sedang diusahakan UNHCR dengan wakil kedutaan Australia di Bangkok," katanya.

Ditanya apa alasan sebenar Nur Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia, sumber berkata, usahawan kosmetik itu mendakwa dia mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah