COVID-19: Ini 20 Negara Yang Dah Kuatkuasa 'Larangan Perjalanan', Termasuk Malaysia!

VIRAL
March 13, 2020 - 12:06 PM


Baru-baru ini Amerika Syarikat telah membuat kejutan dengan menggantung semua perjalanan dari Eropah ke negara "Uncle Sam" itu selama 30 hari sebagai usaha ‘agresif’ untuk mengekang wabak COVID-19.

Selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan koronavirus sebagai "Pandemik", negara-negara di seluruh dunia juga nampaknya mengambil langkah sama dengan menyemak semula dasar kemasukan pelancong ke pintu masuk masing-masing.

Malaysia juga tidak terkecuali dan berikut senarai negara yang telah membuat sekatan perjalanan global:-

1) AMERIKA SYARIKAT

Larangan oleh Amerika Syarikat melibatkan sejumlah 26 negara di zon pergerakan bebas Schengen, antaranya : Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Yunani, Hungary, Iceland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.

Namun sekatan itu tidak termasuk untuk pengembara dari United Kingdom (UK) yang keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), baru-baru ini.

Presidennya, Donald Trump berkata bahawa akan ada "pengecualian untuk rakyat Amerika yang telah menjalani pemeriksaan yang sesuai." Kemudian, panduan dikeluarkan dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menjelaskan larangan itu tidak berlaku kepada warganegara Amerika atau ahli keluarga mereka.

Penumpang yang telah berada di China dan Iran dalam tempoh 14 hari yang lalu tidak dibenarkan masuk.

Warganegara AS yang telah berada di China dalam 14 hari terakhir boleh memasuki AS tetapi akan diarahkan melalui 11 lapangan terbang di mana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Lapangan terbang terlibat termasuk Atlanta, Chicago, Dallas, Detroit, Honolulu, Los Angeles, New York (JFK atau EWR), San Francisco, Seattle dan Washington.

2) AUSTRALIA

Negara 'Kangaru' telah mengeluarkan arahan bahawa penumpang yang telah transit melalui atau berada di China dalam 14 hari terakhir tidak dibenarkan memasuki atau transit melalui Australia.

Bagaimanapun, peraturan ini tidak terpakai kepada krew penerbangan, warga Australia dan ahli keluarga terdekat mereka atau penduduk New Zealand yang bermastautin di Australia.

Penumpang yang telah berada di Iran, Korea Selatan atau Itali pada bulan Mac ini juga tidak dibenarkan memasuki Australia selama 14 hari, dari masa mereka keluar negara masing-masing.

Sama juga penguatkuasaan ini tidak terpakai kepada warganegara Australia, penduduk tetap Australia atau ahli keluarga terdekat mereka, yang sepatutnya dikehendaki untuk mengasingkan diri selama 14 hari.

3) AUSTRIA

Austria telah memperkenalkan pemeriksaan sempadan dan mengharamkan semua ketibaan dari Itali, Wilayah Hubei China, Iran dan Korea Selatan -- kecuali mereka yang mempunyai sijil perubatan tidak lebih dari 4 hari yang mengesahkan mereka tidak terjejas oleh koronavirus.

Walau bagaimanapun, perjalanan ke seluruh Austria masih dibenarkan selagi pengembara tidak melakukan transit di mana-mana negara yang disenaraikan itu.

4) CHINA

Baru-baru ini, Beijing mengumumkan kuarantin wajib 14 hari ke atas semua pelancong antarabangsa yang tiba di ibu negara China itu.

Sementara, pengembara perniagaan antarabangsa akan dikehendaki menginap di beberapa hotel yang ditetapkan di Beijing di mana mereka akan diuji untuk virus itu. Mereka tidak akan dibenarkan keluar sehingga keputusan ujian mereka dikembalikan.

Manakala penumpang yang datang dari Iran, Itali, Jepun atau Korea dan melancong ke Beijing, Guangzhou, atau Shanghai tertakluk kepada kuarantin selama 14 hari.

5) CROATIA

Selain warganegara Croatia, penumpang dan krew syarikat penerbangan yang berada di Wilayah China Hubei, Heinsberg County, Iran, Itali, atau wilayah Daegu City dan Cheongdo Korea Selatan dalam tempoh 14 hari yang lalu akan diletakkan dalam kuarantin selama 14 hari.

Sementara, warga Croatia dikehendaki untuk mengasingkan diri sendiri.

Selain itu, mana-mana penumpang dan krew syarikat penerbangan yang telah berada di semua kawasan lain di China dan Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Singapura juga dikehendaki untuk mengasingkan diri selama 14 hari.


6) REPUBLIK CZECH

Semalam, Republik Czech mengisytiharkan mod kecemasan dan melarang kemasukan selama 30 hari kepada bukan pemastautin dari negara-negara yang terkena koronavirus, serta menutup sebahagiannya dari kawasan sempadannya.

Perjalanan keluar ke negara berisiko tinggi juga adalah diharamkan.

Larangan itu berkuatkuasa kepada pelawat dari China, Korea Selatan, Iran, Itali, Sepanyol, Austria, Jerman, Switzerland, Sweden, UK, Norway, Denmark dan Perancis.


7) GREECE

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis mengumumkan dalam Twitter pada 1 Mac lalu bahawa negara itu tidak akan menerima apa-apa permohonan suaka baru sekurang-kurangnya satu bulan disebabkan oleh wabak koronavirus. Langkah ini adalah untuk "meningkatkan tahap pencegahan" di sempadan negara secara maksimum.


8) HONG KONG

Penumpang yang telah masuk atau melalui Korea Selatan dan Wilayah China Hubei dalam masa 14 hari yang lalu tidak dibenarkan memasuki Hong Kong. Begitu juga untuk warga China yang menggunakan pasport yang dikeluarkan di Hubei.

Namun peraturan tersebut tidak terpakai untuk warga Hong Kong, sebaliknya mereka hanya perlu mengkuarantinkan diri selama 14 hari.

Penumpang yang tiba dari atau berada di China, Iran atau kawasan Emilia-Romagna, Lombardy dan Veneto di Itali dalam tempoh 14 hari yang lalu adalah tertakluk kepada kuarantin.

Bermula esok (14 Mac), arahan sama akan diperluaskan kepada penumpang yang telah berada di Perancis (Bourgogne-Franche-Comte dan Grand Est), Jerman (Rhine-Westphalia Utara), Itali, Jepun (Hokkaido) atau Sepanyol (La Rioja, Madrid dan Pais Vasco).

Penumpang yang berada di China, Iran atau kawasan Emilia-Romagna, Lombardy dan Veneto di Itali tidak dibenarkan masuk jika mereka hanya menginap di Hong Kong kurang dari 14 hari.

9) INDIA

India kini menggantung sementara semua visa pelancong dan menguatkuasakan kuarantin selama 14 hari ke atas semua pelancong, termasuk warganegara India yang tiba dari atau telah melawat China, Perancis, Jerman, Iran, Itali, Korea Selatan dan Sepanyol.


10) INDONESIA

Selain warganegara dan penduduk Indonesia, krew penumpang dan syarikat penerbangan yang berada di China, atau kawasan yang terjejas di Itali, Korea Selatan dan Iran dalam 14 hari terakhir tidak dibenarkan memasuki atau transit melalui republik itu.


11) ITALI

Penumpang yang tiba sebagai pelancong tidak dibenarkan masuk melalui lapangan terbang di kawasan berikut: Alessandria, Asti, Lombardy, Modena, Novara, Padova, Parma, Pesaro dan Urbino, Piacenza, Reggio Emilia, Rimini, Treviso-Venice, Verbano-Cusio-Ossola dan Vercelli.

12) JEPUN 

Jepun mengharamkan kemasukan penumpang yang telah berada di kawasan yang terjejas di China, Korea Selatan atau Itali dalam tempoh 14 hari yang lalu. Warganegara Jepun dikecualikan, begitu juga pasangan dan anak mereka yang disahkan.

13) MACAU

Kerajaan Macau telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk melarang pelawat yang telah ke wilayah Hubei China dalam tempoh dua minggu yang lalu, kecuali mereka boleh memberikan sijil perubatan yang menyatakan mereka belum dijangkiti dengan koronavirus.

Pelancong yang telah melawat Korea Selatan, Itali atau Iran dalam 14 hari sebelum kedatangan mereka dikehendaki melakukan pemerhatian perubatan selama 14 hari di tempat yang ditetapkan.

Mereka yang telah mengembara ke Jerman, Perancis, Sepanyol dan Jepun dalam tempoh 14 hari dari tarikh ketibaan, mereka perlu mengemukakan pemeriksaan kesihatan serta pemerhatian perubatan selama 14 hari di tempat yang ditetapkan.

Penduduk Macau yang kini berada di mana-mana kawasan yang terjejas akan diminta untuk mengasingkan diri sendiri selama dua minggu.


14) MALAYSIA

Malaysia telah meyekat kemasukan pelancong dari negara terjejas seperti China, Korea, Jepun, Iran dan Itali.

Di samping itu, semua rakyat Malaysia yang kembali dari mana-mana negara ini dikehendaki untuk mengkuarantinkan diri sendiri di rumah selama 14 hari.

15) NORWAY

Sesiapa yang pergi ke Norway dari luar kawasan Nordic mesti mengasingkan diri selama dua minggu.

Peraturan itu diwajibkan bermula semalam (12 Mac) sehingga 26 Mac ini.

16) RUSIA

Rusia telah mengenakan "arahan keras" di ibu negara Moscow, yang memerlukan warganegaranya yang pulang dari China, Korea Selatan, Iran, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol untuk "mengasingkan diri" selama 14 hari.

Visa pelancong untuk warga Itali juga mula digantung hari ini (13 Mac) melainkan yang masuk ke sana atas urusan perniagaan, kemanusiaan, perkhidmatan dan visa diplomatik.

17) SRI LANKA

Kerajaan Sri Lanka hari ini (13 Mac) mengumumkan pembatalan visa semasa ketibaan(VOA), tetapi belum lagi disahkan bila tempoh ia akan mula dikuatkuasakan.

Penumpang yang tiba dari Itali, Iran dan Korea Selatan akan dikuarantin selama 14 hari.

18) KOREA SELATAN

Pelawat yang berada di Wilayah Hubei China dalam 14 hari lalu dan pemegang pasport dari rantau itu, tidak akan dibenarkan masuk ke Korea Selatan.

Visa Korea yang dikeluarkan oleh Konsulat Wuhan di Wilayah Hubei juga diiktiraf sebagai tidak sah yang bertarikh sebelum 9 Mac 2020. Namun, arahan ini tidak terpakai kepada krew penerbangan.

19) THAILAND

Thailand telah menggantung dasar pengecualian visanya untuk pelancong dari Hong Kong, Korea Selatan dan Itali, manakala visa semasa ketibaan telah dihentikan untuk 18 negara seperti: Bulgaria, Bhutan, Cyprus, Ethiopia, Fiji, Georgia, India, Kazakhstan, Malta, Mexico, Nauru , Papua New Guinea, Romania, Rusia, Arab Saudi, Uzbekistan, Vanuatu dan China.

Di bawah peraturan baru itu, pengembara mesti memohon visa terlebih dahulu dan mengemukakan sijil perubatan yang membuktikan mereka bebas daripada koronavirus.

20) TURKI

Penumpang yang telah transit melalui atau berada di China, Iran, Iraq, Itali atau Korea Selatan dalam tempoh 14 hari lalu tidak dibenarkan memasuki atau transit melalui Turki.

Namun warganegara Turki dikecualikan daripada peraturan tersebut.

Sumber: CNN

 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah