Isnin Ini Cuti Umum Hari Keputeraan Agong, Ini 5 Fakta Menarik Tentang Baginda!

VIRAL
June 03, 2020 - 12:01 PM


Bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah -- Isnin depan (8 Jun) diisytiharkan sebagai hari kelepasan am!

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata pengisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 dan telah diwartakan pada 18 Mac lepas.

“Hari kelepasan am ini adalah termaktub sebagai hari cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja menurut Seksyen 60D (1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 (Akta 265). 

“Hari kelepasan am ini tidak boleh digantikan oleh tarikh lain dan pekerja yang diarahkan bekerja pada tarikh ini hendaklah dibayar gaji pada kadar bayaran bagi hari kelepasan am selaras dengan peruntukan Akta 265,” menurut kenyataan itu.

Seperti yang kita sedia maklum, sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 lagi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong sememangnya terkenal sebagai raja berjiwa rakyat yang sangat disayangi rakyat jelata.

Sempena Hari Keputeraan Agong, jom kita tengok 5 fakta menarik mengenai baginda!

1. Baginda diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal, Pekan

Baginda ialah paduka anakanda keempat kepada Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan, diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang.

2. Baginda dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang ketika berusia 16 tahun

Upacara permasyhuran baginda sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dijalankan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan. Baginda kemudian dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 pada usia 20 tahun. Baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang bagi tempoh lima tahun ketika ayahanda baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke-7.

3. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara

Baginda berangkat ke United Kingdom pada usia 16 tahun untuk melanjutkan pelajaran di Aldenham School, Hertsfordshire sebelum melanjutkan pendidikan di Devies’ College, London dari tahun 1978 hingga 1979. Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England. Baginda telah ditauliahkan sendiri oleh Queen Elizabeth II dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalry Angkatan Tentera Darat Malaysia.

4. Al-Sultan Abdullah diijabkabulkan dengan Raja Permaisuri pada 6 Mac 1986

Upacara ijabkabul baginda berdua dijalankan di Istana Bukit Serene, kediaman rasmi Sultan Johor. Baginda berdua mengulang sejarah perkahwinan diraja Pahang-Johor yang ke-3 selepas pernikahan moyang Tengku Ampuan Pahang iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Johor dengan seorang puteri diraja Pahang dan Almarhum Sultan Mahmud Pahang dengan Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Abu Bakar Johor.

5. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri

Sebelum dikurniakan anak kandung, baginda berdua mengambil seorang anak angkat lelaki iaitu Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Sulta Abdullah. Untuk pengetahuan, Yang Mulia Tengku Amir Nasser merupakan merupakan anakanda bongsu kepada Tengku Arif Bendahara Ibrahim dan isteri ketiga, Zarina binti Abdullah.

Bersama Raja Permaisuri Agong, baginda dikurniakan enam orang cahaya mata namun anak sulung baginda berdua, Yang Mulia Tengku Ahmad Iskandar Shah, mangkat pada hari yang sama diputerakan iaitu pada 24 Julai 1990. Ramai mengetahui bahawa baginda juga mempunyai anak hasil perkahwinan bersama Cik Puan Julia Rais. Berikut merupakan senarai anakanda baginda:-

1. Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim
2. Yang Mulia Tengku Ahmad Iskandar Shah
3. Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan
4. Yang Mulia Tengku Ilisha Ameera
5. Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
6. Yang Mulia Tengku Ilyana
7. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah
8. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah
9. Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah
10. Yang Mulia Tengku Jihan Azizah Athiyatullah

P/S: Selamat bercuti semua! Tapi jangan pergi mana-mana ya...duduk rumah sahaja. Sebab PKPB hanya akan berakhir keesokkan harinya, 9 Jun tau!

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah