Syahdunya, Tengok Jemaah Haji Buat Tawaf Qudum Dengan Norma Baharu

VIRAL
July 30, 2020 - 11:09 AM


Seperti yang kita sedia maklum sekarang ini merupakan musim menunaikan ibadah Haji yang juga menjadi Rukun Islam kelima.

Jika selalunya kita melihat pemandangan jemaah yang sangat ramai dari seluruh dunia memenuhi ruang di depan Kaabah di Makkah -- namun tahun ini suasananya cukup berbeza dan luar biasa apabila jemaah haji yang berpakaian ihram lengkap bertopeng muka melaksanakan Tawaf Qudum (tawaf mula tiba) mengelilingi Kaabah pada hari pertama musim haji dengan turut mengamalkan penjarakan sosial.

Panorama Haji yang cukup syahdu itu ternyata membuatkan gambar dan video yang sedang berlaku di Tanah Suci menjadi viral di media sosial seterusnya membangkitkan keinsafan kepada kita semua terhadap kekuasaan Allah SWT.

Tawaf yang dilakukan para jemaah adalah ibadat pertama yang dilaksanakan sejurus memasuki Masjidil Haram di Makkah.

Jemaah memulakan hari pertama urusan haji mereka selepas menamatkan empat hari kuarantin di Makkah serta kuarantin kendiri selama seminggu di rumah masing-masing, sebagai sebahagian langkah pencegahan ketat bagi membendung wabak COVID-19.

Jemaah pada musim ini dihadkan kepada warganegara serta penduduk tetap Arab Saudi dan mereka perlu memenuhi syarat ditetapkan selain tertakluk kepada prosedur kuarantin.

Individu daripada 160 negara yang menetap di Arab Saudi dipilih untuk menyempurnakan haji tahun ini.

Penduduk tetap ditawarkan sebanyak 70 peratus tempat manakala 30 peratus lagi disediakan untuk warganegara.

Jumlah jemaah tahun ini kurang berbanding 2.6 juta orang tahun lalu bagi memastikan pelaksanaan penjarakan sosial dipatuhi.

Untuk memulakan urusan haji jemaah terlebih dulu pergi ke Miqat al Sail al Kabir (Wadi Muharram) untuk berihram dan memasang niat selepas mereka menamatkan tempoh kuarantin.

Jemaah yang sudah berihram kemudian bergerak ke Makkah untuk melaksanakan Tawaf Qudum sebelum bermalam di khemah di Mina bagi menyempurnakan Hari Tarwiyah (Hari menghilangkan dahaga) diikuti wukuf di Arafah pada hari berikutnya. 

Sumber: Bernama

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah