Thailand Sambung Larangan Penerbangan Antarabangsa Sehingga 30 Jun
VIRALMay 18, 2020 - 11:58 AM
Tiada sebarang ketibaan penumpang penerbangan antarabangsa dibenarkan mendarat di Thailand sehingga 30 Jun ini!
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) meneruskan larangan tersebut bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata, larangan tersebut dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan ataupun bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.
“Larangan ke atas penerbangan penumpang antarabangsa ke Thailand akan disambung dari 1 Jun 17.00 UTC ke 30 Jun 17.00 UTC. Kesemua kebenaran yang telah diberikan pada tempoh tersebut akan dibatalkan.
“Penumpang yang tiba menggunakan penerbangan yang dikecualikan adalah tertakluk kepada langkah-langkah di bawah Undang-Undang Penyakit Berjangkit, seperti kuarantin 14 hari, dan peraturan di bawah perintah kecemasan bagi negara di bawah dekri darurat,” katanya.
Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 4 ke 6 April, sebelum dilanjutkan ke 18 April dan kemudian disambung ke 30 April dan 31 Mei.
Sehingga kini, lima syarikat penerbangan telah memulakan semula penerbangan dalam negeri sejak 1 Mei di 17 lapangan terbang di Thailand.
Dengan situasi jangkitan COVID-19 di Thailand terus bertambah baik sejak pertengahan April, Thailand meneruskan dekri darurat sehingga 31 Mei.
Thailand hari ini sekali lagi mencatatkan kes baru jangkitan COVID-19 dan kematian ‘sifar’, mengekalkan jumlah kes keseluruhan 3,025 dengan 56 kematian.
Sumber: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah