Kisah Disebalik Bok House— Rumah Asal Di Tapak Hotel W Kuala Lumpur
FEATUREDBagi korang yang membesar di Kuala Lumpur dan dah biasa lalu Jalan Ampang, mesti korang akan perasan yang jalan tersebut telah melalui pembangunan yang agak pesat. Kalau korang tak tahu, kawasan tersebut pernah satu ketika dahulu dikenali sebagai Millionaire's Row di mana lot-lot di Jalan Ampang menempatkan rumah-rumah para jutawan pada ketika itu.
Antara salah sebuah rumah banglo yang pernah wujud di Jalan Ampang, Kuala Lumpur adalah Bok House yang dulunya terletak di alamat 121, Jalan Ampang, dibina oleh firma Swan & Maclaren Architects di Singapura untuk pemilik, dan jutawan Cycle & Carriage bernama Chua Cheng Bok.
Cycle & Carriage yang kini antara pengedar terbesar Mercedes Benz di Malaysia asalnya adalah kedai runcit yang dibuka pada tahun 1899, dan selepas menceburi pelbagai jenis perniagaan, Chua beralih kepada bidang automotif.
Ada cerita yang tersebar bahawa Bok House dibini kerana Chua Cheng Bok ingin mengahwini anak perempuan orang kaya, dan pembinaan rumah tersebut di Millionaire's Row dapat mengagumkan bapa mertuanya. Namun cerita ini disangkal dengan fakta yang Chua sudahpun berumur 40 tahun, dan mempunyai 2 cucu pada 1929, dan rumah tersebut dibina pada tahun 1926.
Selain itu, Chua juga merupakan pengasas kepada beberapa perniagaan terkenal yang lain seperti Panggung Wayang & Kafe Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ketika itu, Kafe Coliseum adalah restoran bertaraf tinggi, setanding dengan Restoren Lafite di Hotel Shangri-la KL.
Di kejiranan jutawan pada ketika itu, keluarga Chua turut berjiran dengan jutawan bijih timah, Eu Tong Sen, dan kedua-dua rumah ini adalah antara banglo yang dirampas pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dan Bok House dijadikan cawangan Yokohama Specie Bank di Tanah Melayu.
Lebih bernasib baik daripada Bok House, banglo Eu Tong Sen menempa sejarahnya sebagai Arkib Negara, tempat pertabalan beberapa Yang Dipertuan Agong, lokasi persidangan Parlimen Malaysia, Muzium Seni Malaysia, dan kini berperanan sebagai Malaysia Tourism Centre (MaTiC)
Bok House pula bertukar menjadi sebuah restoran makanan barat bernama Le Coq D'Or pada 1958, dan pada ketika itu berjaya menarik ramai pelanggan kerana kedudukannya yang strategik dan status Keluarga Chua yang disegani.
Namun, restoran ini ditutup pada tahun 2001 kerana kesesakan trafik di Jalan Ampang yang menyebabkan Le Coq D'Or kehilangan pelanggan. Selain itu, ada juga yang mengaitkan penutupan restoran itu dengan satu kejadian misteri yang berlaku pada satu malam.
Pada satu malam ketika restoran tersebut dipenuhi dengan pelanggan, mereka terperanjat dek suara jeritan seorang wanita yang amat kuat. Anehnya, tiada siapa yang tahu dan nampak dari mana datangnya suara tersebut, dan kes tersebut tinggal misteri sehingga hari ini.
Pada tahun 2005, akhirnya Bok House dijual walaupun Badan Warisan Negara dengan waris Keluarga Chua cuba berunding untuk menggazetkan bangunan tersebut, namun persetujuan gagal dicapai.
Pada tahun 2006, rumah itu pun diratakan, kemudian dijadikan kawasan parkir selama beberapa tahun. Selepas itu, sebuah hotel 5 bintang, W Kuala Lumpur, dibangunkan & telah dibuka pada tahun 2012.
Sumber: Twitter @bookthief2021
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah