Cook & Coff - Kafe Unik Bertema Penjara Yang Diurus Sendiri Banduan Di Thailand
MAKANDecember 16, 2020 - 05:18 PM
Ramai yang mempunyai mentaliti bahawa 'tirai besi' atau penjara merupakan pengakhiran kepada kehidupan seseorang yang telah melakukan kesalahan.
Namun siapa sangka di negara jiran kita, Thailand -- mereka mempunyai cara tersendiri bagi membantu golongan banduan untuk bangkit serta memulakan kehidupan baru dengan melatih mereka menjadi barista atau pembuat kopi.
Lebih menarik, mereka juga diberi peluang untuk bekerja serta menguruskan sebuah kafe yang bertemakan penjara dipanggil "Cook & Coff" yang terletak di ibu kota Ayutthaya, utara Bangkok.
Cook & Coff dibuka pada 2018 melalui inisiatif Jabatan Pemulihan untuk melatih, latihan semula dan juga memberikan latihan pekerjaan untuk tahanan.
Malah, pengunjung yang ke kafe tersebut juga berpeluang menikmati makan malam di dalam sel.
Di dalamnya, terdapat papan tanda yang dipenuhi dengan pesanan berbentuk dorongan daripada pengunjung kepada tahanan.
Pegawai Chatchai Rompo, yang bertanggungjawab dalam program latihan di Penjara Pusat Ayutthaya, mengatakan kafe itu menyediakan kemahiran pekerjaan untuk tahanan yang bakal dibebaskan.
Ia bertujuan mempersiapkan mereka untuk menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.
Menurutnya tahanan yang berkelakuan baik dan telah menjalani hukuman mereka di penjara untuk jangka waktu tertentu akan mendapat peluang mempelajari kemahiran baharu untuk pekerjaan di masa depan dan memulakan kehidupan baharu.
“Ia juga membantu mengurangkan kadar mereka kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan,” katanya.
Setelah melalui proses pemilihan yang ketat oleh panel khas, tahanan terpilih akan menjalani latihan, termasuk kemahiran membuat kopi dan masakan serta melayani pelanggan, bertujuan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan membuat keputusan.
Chatchai berkata, kafe itu kini menjadi satu daripada tarikan pelancongan ke Ayutthaya.
Selain kafe, terdapat restoran dikendalikan tahanan wanita yang dibuka akhir tahun lalu, dan Jabatan Pemulihan juga bekerjasama rapat dengan kafe serta restoran untuk menggaji bekas tahanan.
“Bekas banduan juga layak diberi peluang kedua untuk mendapat pekerjaan yang baik,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah