China Makin Sembuh Dari COVID-19, Tembok Besar China & Zoo Beijing Dibuka Semula Kepada Pelancong

JALAN-JALAN
March 30, 2020 - 04:40 PM


Di saat kebanyakan negara di dunia masih 'berperang' bagi menewaskan virus COVID-19, China sebagai negara yang mencetuskan wabak tersebut dilihat semakin pulih dan membaik.

Malah, beberapa lokasi pelancongan terkenal yang sering menjadi kunjungan pelancong dari serata dunia juga mula dibuka seperti Tembok Besar China dan Zoo Beijing.

Bermula Selasa lalu, selepas ditutup selama hampir 2 bulan, bahagian yang dikenali sebagai 'Badaling' di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu sebahagiannya dibenarkan untuk dikunjungi orang awam bermula antara pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Badaling yang terletak di Daerah Yanqing Beijing, kira-kira 60 km barat laut dari pusat bandar merupakan bahagian paling awal dibuka kerana ianya paling popular di kalangan pelancong apabila menerima lebih daripada 9.9 juta pelawat pada tahun 2018.

Bagaimanapun, jumlah pelawat harian ketika ini dihadkan hanya seramai 19,500 orang.

Malah pengunjung yang ingin ke sana juga harus menempah tiket di laman web rasmi atau melalui aplikasi WeChat terlebih dahulu dan perlu mendaftar maklumat peribadi serta rekod kesihatan mereka -- sementara suhu badan setiap pengunjung akan diambil semasa mereka masuk ke sana.

Bagi mengelakkan orang ramai berhimpun atau bersesak-sesak, laluan pelancong juga telah disusun hanya satu hala untuk setiap perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun, perkhidmatan lain di Tembok Besar China seperti kereta kabel, muzium dan beberapa bahagian lain masih lagi ditutup untuk kunjungan orang ramai.

Sementara itu, Zoo Beijing juga dikhabarkan telah dibuka semula pada hari Isnin lalu, selepas ditutup sejak 24 Januari sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengawal wabak koronavirus.

Kini, lebih 5,000 ekor haiwan di zoo berkenaan kembali dibersihkan dan diberi makan secukupnya bagi menyambut kedatangan pengunjung lebih-lebih lagi dengan musim bunga yang akan datang.

Sumber: Jakarta Post

 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah