Info Ringkas Travel Ke Labuan
JALAN-JALANOctober 01, 2019 - 10:50 AM
Siapa dekat sini tahu lokasi mana yang mendapat gelaran sebagai "Mutiara Borneo"? Sabah? Sarawak? Salah!
Jawapannya adalah Labuan atau lebih dikenali sebagai Pulau Labuan!
Walaupun Labuan terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari pantai barat Sabah dan terkenal sebagai sebuah bandar pelabuhan, tetapi tak ramai antara kita yang terfikir untuk melancong ke sana, kan?
Malah, Labuan juga kurang mendapat pendedahan dan tidak sepopular pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Perhentian atau Pulau Sipadan.
Baru-baru ini, Tourism Malaysia telah membawa sekumpulan penggiat media sosial untuk merasai sendiri pengalaman melancong 4 hari 3 malam ke Labuan dan siapa sangka rupa-rupanya Labuan adalah sebuah destinasi percutian yang menyeronokkan, santai dan sangat menenangkan fikiran.
Sesuai dengan namanya sebagai 'Pearl of Borneo' ternyata Labuan sememangnya merupakan sebuah permata tersembunyi yang patut korang terokai!
Tetapi sebelum tu, jom kita kenali Labuan dengan 10 info menarik ini!
1. Labuan Lebih Dekat Dengan Brunei Berbanding Kota Kinabalu
Labuan mempunyai keluasan sekitar 92 kilometer persegi. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah atau 2 jam 30 minit penerbangan dari Kuala Lumpur.
Labuan sebenarnya lebih dekat dengan negara jiran iaitu Brunei daripada Kota Kinabalu yang sama dalam Malaysia. Sebab jarak Labuan-Brunei hanya 30 kilometer, berbanding Labuan-Kota Kinabalu berjarak hingga 121 kilometer.
Disebabkan adanya perkhidmatan feri dari Labuan ke satu-satunya negara luar iaitu Brunei, maka terminal ferinya juga diberi nama 'Terminal Feri Antarabangsa Labuan'!
2. Labuan Bawah Sabah Atau Wilayah Persekutuan?
Labuan mempunyai pelabuhan yang sangat dalam dan besar, hingga namanya juga diberi daripada asal perkataan pelabuhan atau "Labuhan" dan pusat bandarnya adalah Bandar Victoria.
Disebabkan kedudukan geografi Labuan adalah di Sabah, ramai yang keliru dan menyangka Labuan berada di bawah pentadbiran Negeri Sabah.
Namun sebenarnya bandar pelabuhan ini berada di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan atau dalam erti kata lain Labuan sama statusnya seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya yang meraikan Hari Wilayah tanggal 1 Februari setiap tahun.
3. Banyak Negara Pernah Tadbir Labuan
Labuan asalnya merupakan sebahagian daripada Kesultanan Brunei. Kemudian ia diserahkan kepada British sebagai tapak operasi menentang lanun.
Labuan juga pernah ditukar namanya menjadi Pulau Maida ketika diperintah oleh Jepun bersempena nama Komander tentera Jepun iaitu Marquis Toshinari Maeda.
Selepas pengunduran penjajah, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara bersama-sama Sabah, sebelum masuk ke dalam Malaysia.
Labuan dahulunya merupakan kawasan terpinggir dari arus pembangunan, namun setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, ia mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurusniaga hingga Labuan diiktiraf sebagai "Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa" atau IOFC!
4. Labuan Berstatus Pulau Bebas Cukai
Labuan juga sebenarnya merupakan 'syurga beli-belah' kepada siapa yang berkunjung ke sini kerana Labuan berstatus "Pulau Bebas Cukai" sejak 1 September 1956.
Dalam erti kata lain, pelbagai jenis barangan boleh dibeli dengan harga yang murah di Labuan seperti coklat, tekstil, makanan, minyak wangi, tembakau dan juga kereta import!
5. Orang Labuan Majoriti Keturunan Kadayan-Brunei
Majoriti penduduk Labuan adalah berketurunan Kadayan-Brunei. Mereka beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kadayan-Brunei atau lebih dikenali sebagai dialek Labuan.
Dialek Labuan mempunyai beberapa perbezaan berbanding Bahasa Melayu standard.
Satu yang pasti masyarakat di sana sangat berbangga menjadi Orang Labuan, hingga mereka mengasingkan dan menggelar orang selain Labuan seperti contoh penduduk Kota Kinabalu sebagai Orang Sabah walaupun tutur kata dan cara percakapan mereka hampir sama.
6. Labuan Ada 4 Tapak Selaman Kapal Karam Terbaik Asia
Kepulauan Labuan juga terkenal sebagai destinasi aktiviti menyelam ‘scuba’ dan ‘snorkeling’ serta menjadi pusat menyelam bertaraf antarabangsa yang ditadbir oleh Jabatan Taman Laut Labuan.
Ini kerana di Labuan terdapat 4 buah tapak selaman kapal karam terbaik di Asia yang terdiri daripada 3 kapal kargo dan sebuah kapal perang iaitu ‘Australian Wreck’, ‘American Wreck’, ‘Cement Wreck’ dan ‘Blue Water Wreck’.
Selain itu, pantai di sepanjang Pantai Batu Manikar hingga ke Pantai Sungai Pagar/Miri pernah dianugerahkan ‘United Nation COBSEA Clean Beach Award’ pada tahun 2008 dan diisytiharkan sebagai ‘101 The Most Beautiful Beaches In South East Asia’ pada tahun 2015!
7. Akses Pengangkutan Ke Labuan
Ada bermacam cara untuk masuk ke Labuan seperti menaiki kapal terbang dan feri.
Terdapat 4 penerbangan sehari dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Labuan.
Manakala bagi perkhidmatan feri ekspres ada 3 kali sehari disediakan dari Terminal Feri Serasa di Muara, Brunei Darussalam ke Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan atau perkhidmatan bot ekspres 2 kali sehari dari Sabah melalui Kota Kinabalu, Lawas, Sipitang dan Limbang di Sarawak serta bot ekspres dari Menumbok, Sabah.
8. Labuan Bakal Miliki Jambatan Untuk Ke Sabah
Sebenarnya, Orang Labuan sudah lama mengidamkan dan ternanti-nanti projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar di Sabah bagi kemudahan mereka.
Setakat ini, laluan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Menumbok itu sedang dikaji secara mendalam dari segi kos efektif oleh satu jawatankuasa pegawai tertinggi daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan, Perbadanan Labuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Jika keputusannya positif, kontrak projek dijangka dianugerahkan pada hujung tahun 2020.
9. Jalan Raya Labuan Tak Pernah Jammed
Setelah 4 hari berjalan-jalan di Labuan, satu istimewanya bandar pelabuhan ini ialah keadaan trafiknya yang sangat tenang dan tiada kesesakan lalu lintas.
Korang bayangkanlah untuk sampai ke setiap lokasi tarikan pelancongan di Labuan hanya mengambil masa antara 5 hingga 20 minit sahaja. Nak lelap mata sekejap pun tak sempat...hahaha!
Sebab itu ramai yang ingin menjadikan Labuan sebagai lokasi terbaik untuk persaraan mereka kerana ia merupakan sebuah bandar kecil yang sangat santai dan jauh dari kesibukan aktiviti harian.
10. Labuan Hanya Memiliki Satu Kompleks Membeli-Belah
Percaya atau tidak, Labuan hanya memiliki satu sahaja kompleks membeli-belah iaitu di Ujana Kewangan yang terletak di Jalan Merdeka.
Selain terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan bebas cukai, kompleks ini juga dilengkapi dengan bank, pejabat dan sering menjadi lokasi majlis atau festival besar-besaran yang diadakan di Labuan seperti Borneo Arts Festival yang disambut setiap tahun.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah