10 Kafe Hipster Yang Bukan Je Instagrammable, Tapi Juga Memikat Selera!
MAKANMarch 10, 2022 - 12:40 PM
Lembah Klang sememangnya mempunyai banyak lokasi tempat makan menarik untuk seisi keluarga.
Sebut sahaja menu yang diinginkan baik tempatan mahupun makanan barat, semuanya mudah ditemui.
Namun, trend warga ibu kota hari ini ialah mengunjungi kafe yang mempunyai dekorasi unik dan menarik untuk meluangkan masa dengan teman serta keluarga tersayang.
Kafe yang menjadi pilihan biasanya dihias dengan konsep sama ada gaya urban, Inggeris, retro moden dan tradisional.
Popular dengan gelaran kafe hipster atau Instagrammable cafe, kebanyakan lokasi tempat makan itu juga menyediakan pelbagai menu baharu yang menarik perhatian.
Bagi yang ingin mencuba menu dan suasana yang baharu, berikut beberapa kafe hipster popular yang boleh dikunjungi.
1. Kafe Kleptokrat
Ramai yang mengunjungi kafe ini untuk merasai sendiri pengalaman bersantai dalam suasana berbeza.
Dari luar kafe ini kelihatan biasa, namun apabila memasuki ruang dalamannya, pengunjung pasti teruja dengan rekaannya.
Bangunan kafe itu dikatakan berusia lebih 100 tahun dan apa yang menariknya, terdapat sebuah kolam ditengah-tengah yang sememangnya 'spot' menarik untuk kaki bergambar.
2. Pokok KL
Kafe terkenal ini terletak di kawasan MAHSA College Kuala Lumpur.
Ia berkonsepkan rumah kaca dan dipenuhi pepohon hijau yang mendamaikan.
Sama ada anda mahukan nasi lemak 'big breakfast,' pasta ataupun kek semuanya ada disediakan.
Kafe menarik ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 8 malam.
3. Kafe La Fleur x Uniqorn
Antara kafe unik yang terdapat di Petaling Jaya, Selangor adalah Kafe La Fleur x Uniqorn yang bertemakan 'Unicorn.'
Kafe berwarna merah jambu itu dihiasi dengan patung unicorn comel dan pengunjung boleh mengambil gambar bersamanya.
Hidangan utama di kafe ini adalah minuman panas seperti coklat dan kopi manakala makanan pula lebih kepada pemanis mulut iaitu wafel, ais krim, penkek dan banyak lagi yang bertemakan unicorn.
4. Ruma Puteh
Terletak di Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dan ia antara kafe yang menarik untuk dikunjungi jika ke ibu kota.
Hiasan dalamannya memang unik, dilatari dengan rona putih yang menenangkan fikiran.
Antara menu popular di sini ialah kacang phool, lontong darat, laksa bugis dan nasi kerabu Puteri Saadong.
5. Dou Dou Bake
Kafe ini pernah viral kerana pelanggan sanggup beratur seawal 7 pagi untuk membeli roti dan pastrinya.
Rekaan dalaman kafe ini bercirikan industri dengan sentuhan konkrit, kayu dan besi.
Pelbagai jenis roti dan pastri boleh dicuba dan pastinya ia memikat selera anda.
6. Cartel Coffeeshop
Keunikan kafe yang terletak di Bangi, Selangor ini ia menggunakan kontena sebagai ruang makan.
Selain itu, ia juga terletak di kawasan yang selesa dan luas di tepi padang.
Rekaan dalamannya cukup maskulin dengan dekorasi bertemakan 'godfather.'
Ruangan bawah kafe dibina daripada kontena dan ada ruangan terbuka di tingkat atasnya.
Ia adalah lokasi untuk bersantai yang menarik terutama pada sebelah malam.
7. The Botanist Garden
Bagi yang gemarkan suasana hijau, kafe yang terletak di Cyberjaya ini perlu dikunjungi.
Kafe dua tingkat itu dihias dengan elemen kayu dan diserikan dengan hiasan pokok segar yang menenang fikiran.
8. Bukku Cafe
Dengan rekaan minimalis gaya Jepun, Bukku Cafe antara kafe yang mesti dikunjungi jika berada di Klang, Selangor.
Kafe ringkas ini dilengkapi dengan hiasan buku dan rak buku serta bekas berisi kopi. Kombinasi bau buku dan kopi sememangnya mengasyikkan.
9. Cake Jalan Tiung
Kafe yang memiliki dua cawangan di Seksyen 4 dan Seksyen 14, Shah Alam, Selangor ini adalah 'syurga' bagi penggemar kek dan pastri.
Dekorasi dalaman kafe ini ringkas, namun menu kek dan pasti yang disediakan menarik kunjungan ramai pengunjung dari seluruh negara.
10. Kafe VCR, Jalan Telawi
Terletak di pinggir ibu kota, kafe ini adalah destinasi pilihan bagi penggemar kopi.
Ia juga terkenal dengan hiasan dalaman yang berkonsepkan rustik, unik dan mempunyai unsur alam semula jadi.
Antara menu kegemaran pelanggan adalah Chicken Waffle yang dihidangkan dengan sos dan ayam yang 'juicy' serta Soft Shell Crab Burger yang mempunyai kulit ketam rangup.
Waktu operasi bermula 8.30 pagi hingga 9.00 malam.
Sumber: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah