Jepun Buka 'Restoran Nasi Kandar Pertama' Hasil Inspirasi Kunjungan Ke Malaysia!

MAKAN
March 03, 2022 - 02:35 PM


Jika selepas ini kita dah kembali dibenarkan untuk bercuti ke luar negara atau lebih tepat lagi melancong ke Jepun, anda boleh singgah menikmati hidangan popular Nasi Kandar di negara matahari terbit itu.

Ini kerana sejak Januari lalu, Jepun telah membuka Restoran Nasi Kandar pertamanya yang diberi nama “Zero Two Nasi Kandar Tokyo”!

Menariknya, ia dibuka oleh warga Jepun yang hanya dikenali sebagai Tateda, selepas beliau jatuh cinta dengan rasa masakan itu ketika berkunjung ke Malaysia.

Hidangan utama yang disajikan di restoran tersebut ialah sepinggan nasi kandar yang dihidangkan dengan 6 pilihan kari berbeza serta lauk-pauk seperti telur rebus, ayam goreng, udang goreng, sotong, kambing, dan banyak lagi.

Ia turut dihidangkan dalam daun pisang serta pinggan plastik berwarna terang, seperti mana biasa disajikan di Malaysia.

Dekorasi restoran itu juga dilengkapi mural dengan estetika Malaysia pada dindingnya -- yang pastinya membuatkan warga tempatan yang berada di sana lebih merindui kampung halaman.

Tidak sekadar keindahan dekorasi, lebih penting masakannya juga menepati selera apabila orang ramai dilihat berbaris panjang di luar restoran menunggu giliran untuk menjamu selera, malah makanan juga kerap kali habis sebelum tamat waktu perniagaan.

“Terima kasih kerana kerana datang ke restoran kami, makanan habis terjual hari ini!

"Kami minta maaf kepada pelanggan yang merancang untuk datang. Kami tidak sabar untuk berjumpa anda lagi,” tulis mereka di laman Instagram.

Sumber: Astro Awani 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah