Penumpang Tak Puas Hati Tak Nampak Wajah Pramugari, Garuda Indonesia Henti Pemakaian Pelitup Muka

VIRAL
June 22, 2020 - 02:48 PM


Tidak dinafikan dek kerana pandemik yang masih wujud meskipun situasi semakin terkawal, banyak syarikat penerbangan yang telah dibenarkan membuka semula laluan domestik tampil dengan pelbagai prosedur keselamatan dan SOP.

Antaranya dengan memastikan kesemua krew kabin dan kakitangan syarikat penerbangan masing-masing lengkap memakai penutup mulut dan hidung serta bersarung tangan plastik ketika melayani para penumpang demi kebersihan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Namun lain pula ceritanya dengan syarikat penerbangan nasional negara jiran kita iaitu Garuda Indonesia yang mengeluarkan arahan supaya pramugari dan pramugara mereka tidak lagi memakai pelitup muka, terutama sekali pada penerbangan jarak jauh.

Arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada para penumpang yang tidak berpuas hati.

Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra berkata para penumpang berasa tidak puas hati kerana tidak dapat melihat raut wajah para pramugari semasa melayan mereka.

"Ramai penumpang dewasa merungut tentang pramugari kami yang memakai pelitup."

"(Disebabkan pelitup), para penumpang tidak tahu sama ada mereka (pramugari) sedang tersenyum atau merungut," jelas Irfan.


Tambahnya, selepas ini krew kabin Garuda Indonesia akan menukar kepada penggunaan pelindung muka (face shield) sahaja secara berperingkat dan interaksi dengan penumpang bakal dikurangkan bagi membendung penularan COVID-19.

Keputusan itu dibuat Garuda untuk memastikan pengalaman para penumpangnya semasa menaiki pesawat seharusnya menjadi sesuatu yang menyenangkan dan bukannya seperti mereka sedang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

“Kami tidak mahu penumpang masuk pesawat dengan perasaan tidak gembira atau tertekan, atau bertanggapan, “Oh, ini ICU ke?” apabila mereka menaiki pesawat.

“Semua orang memakai PPE dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, ini tidak betul.”

Menurut laman web Garuda Indonesia, syarikat penerbangan itu melaksanakan langkah jarak selamat dalam pesawatnya dan para penumpang serta anak kapal buat masa ini mesti memakai pelitup muka apabila menaiki pesawat.

Pemeriksaan kesihatan juga dijalankan ke atas setiap anak kapal sebelum melakukan penerbangan dan semua penumpang mesti menjalani ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) sebelum pesawat berlepas.

Namun, ramai juga yang marah dengan keputusan Garuda Indonesia untuk mengarahkan anak kapalnya supaya berhenti memakai pelitup dan mempersoalkan keutamaan syarikat penerbangan itu.

“Penumpang Garuda yang tidak suka pramugari memakai pelitup itu mungkin lelaki tua,” sindir seorang pengguna Twitter.

Sumber: Detik

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah