Ini 10 'Fun Facts' Tentang Olimpik Tokyo 2020 Yang Tengah Hot Sekarang!

SUKAN
July 26, 2021 - 05:41 PM


Ketika ini selain isu panas mengenai pandemik Covid-19, antara yang menjadi 'buah mulut' dan perhatian dunia adalah penganjuran sukan Olimpik Tokyo yang sedang berlangsung di Jepun.

Olimpik Tokyo yang ditangguhkan sebelum ini akhirnya membuka tirainya pada Jumaat malam.

Ini 10 perkara menarik yang dapat disaksikan dalam temasya sukan Olimpik Tokyo kali ini :-

1. PERTAMA KALI BERLAKU DALAM ERA PANDEMIK

Sudah tentu arena sukan antara paling terkesan dengan pandemik Covid-19. Penganjur mengumumkan pada 24 Mac 2020 bahawa Olimpik Tokyo yang dijadualkan antara 24 Julai dan 9 Ogos 2020, terpaksa ditunda. Beberapa hari kemudian tarikh baharu diumumkan, antara 23 Julai dan 8 Ogos 2021, menandakan buat julung kali Olimpik ditunda sejak 124 tahun.

Penganjur bertungkus lumus untuk penganjuran sukan ini, memastikan setiap langkah pencegahan dan protokol kesihatan telah dilaksanakan demi memastikan keselamatan semua.

Olimpik diadakan di tengah-tengah perintah darurat dikuat kuasa di Tokyo, tiada penonton dibenarkan hadir di Stadium Baseball Fukushima Azuma dan Kubah Sapporo. Hanya acara yang berlangsung di wilayah Miyagi, Ibaraki dan Shizuoka sahaja boleh dihadiri penonton.

Menurut edisi ketiga dan terkini Tokyo 2020 Palybook, diterbitkan pada 15 Jun, atlet yang melanggar protokol Covid-19 mungkin tidak dibenarkan bertanding atau kelayakan mereka dibatalkan.

2. SUKAN BAHARU DIPERTANDINGKAN TERMASUK BESBOL & SOFBAL

Sukan Olimpik Tokyo bakal menampilkan 33 rekod dan 339 acara. Pada 2016, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan lima sukan baharu untuk Olimpik Tokyo, iaitu bola keranjang dan sofbal, karate, skateboarding, sport climbing dan surfing.

Sofbal dan besbol kembali ke pentas Olimpik selepas 13 tahun tidak dipertandingkan.

3. PENYERTAAN DELEGASI TERBESAR 

Sebanyak 206 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dan pasukan Olimpik pelarian IOC akan mengambil bahagian kali ini. China menghantar delegasi terbesar, seramai 777 anggota.

Seramai 431 atlet akan bertanding dalam 225 acara. Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat pula menghantar seramai 613 anggota manakala Jepun diwakili 582 peserta.

4. PASUKAN PELARIAN

Pasukan Olimpik Pelarian melangkah ke gelanggang Olimpik untuk kali kedua, selepas penampilan sulung di Rio pada 2016. Seramai 29 atlet akan mewakili pasukan IOC Refugee Olympic (EOR) untuk 12 acara.

5. PENYERTAAN PALING SEIMBANG

Pada Hari Wanita Antarabangsa, IOC mengumumkan bahawa berdasarkan peruntukan kuota, hampir 49 peratus atlet yang menyertai Olimpik Tokyo 2020 adalah wanita, menjadikannya sukan pertama yang menyaksikan penampilan gender yang seimbang dan pertama kali dalam sejarah.

Buat julung kali juga semua NOC wajib mempunyai sekurang-kurangnya satu atlet wanita dan satu atlet lelaki dalam pasukan Olimpik masing-masing.

Semua 206 NOC dan pasukan IOC Refugee Olympic juga perlu mewakilkan seorang atlet wanita dan atlet lelaki untuk membawa bendera pada upacara pembukaan.

6. SUKAN 'HIJAU'

Menurut laporan, tenaga elektrik yang digunakan di Olimpik Tokyo dihasilkan 100 peratus daripada tenaga boleh baharu. Podium dihasilkan menggunakan plastik post-consumer yang akan “digunakan” semula selepas temasya berakhir.

Katil di perkampungan Olimpik direka menggunakan kadbod yang boleh dikitar semula dan tilam diperbuat daripada polietilena, akan digunakan semula untuk produk plastik.

7. PINGAT KITAR SEMULA 

Menariknya sukan Olimpik kali ini, pingat anugerah untuk temasya Olimpik dan Paralimpik diperbuat sepenuhnya dari sisa elektronik yang dikitar semula.

Sebanyak 8 tan logam dikumpulkan untuk menghasilkan pingat ini. Difahamkan, kotak pengumpulan peranti elektronik kitar semula ini dikerahkan di lokasi-lokasi awam dan kedai runcit pada April 2017.

Reka bentuk pingat selesai disiapkan pada 24 Julai 2019.

Pertandingan reka bentuk pingat sempena temasya Olimpik telah diadakan pada tahun 2017 dan dimenangi oleh Junichi Kawanishi.

8. KALI KEDUA TOKYO JADI TUAN RUMAH OLIMPIK MUSIM PANAS

Bandar Tokyo pernah menjadi lokasi anjuran Olimpik buat kali pertamanya pada tahun 1964.

Temasya Olimpik musim sejuk juga pernah dianjurkan di bandar Sapporo dan Nagano pada tahun 1972 dan 1998.

9. REKA BENTUK STADIUM NASIONAL TOKYO

Direka khas oleh arkitek tempatan, Kengo Kuma. Kuma menggunakan lebih 70,000 kaki kayu balak dari 47 wilayah di negara itu untuk membina stadium nasional negara itu.

Bertemakan Bumi dan alam sekitar, stadium ini menggunakan motif kayu-kayuan dalam pembinaannya.

“Kami hendak membina sesuatu yang melambangkan pandangan orang ramai terhadap alam sekitar dan Bumi pada masa yang sama,” katanya dalam satu temuramah dengan CNN pada Jun 2019.

Stadium Nasional Tokyo yang boleh mengisi sebanyak 60,000 tempat duduk ini akan menjadi lokasi acara pembukaan dan penutupan temasya.

10. ROBOT JADI 'PENYAMBUT TETAMU' ATLET DI LAPANGAN TERBANG

Penggunaan robot bukanlah lagi suatu fenomena asing untuk Jepun.

Malah, untuk temasya Olimpik 2020, pelbagai peranti canggih yang akan digunakan untuk menyambut tetamu dari seluruh dunia.

Ini termasuk penggunaan peranti pengesanan muka yang lengkap dengan kamera dan mikrofon serta alat pembantu membawa bagasi di lapangan terbang.

Tujuannya adalah untuk membiasakan interaksi manusia dan robot semasa di lapangan terbang.

Di samping itu, Jepun juga mempunyai kereta tanpa pemandu yang direka khas untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

Paling menarik perhatian, Jepun juga turut melancarkan hujan meteor buatan manusia Januari lalu.

Hujan meteor dirancang untuk beraksi sempena acara pembukaan temasya Olimpik pada tahun ini.

Sumber: BERNAMA & ASTRO AWANI

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah