Bulan Mac Ni Tak Tau Nak Ke Mana? Nah, 11 Acara Menarik Yang Boleh Korang Join!
TARIKANMarch 04, 2020 - 01:03 PM
Meskipun Malaysia dan dunia dilanda dengan krisis penyebaran wabak COVID-19 yang menjejaskan industri pelancongan, namun setakat ini virus tersebut belum hingga tahap merencatkan segala acara yang telah dirancang bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Jadi korang masih boleh membawa anak-anak dan keluarga bercuti ke seluruh negara serta singgah ke beberapa program menarik yang bakal diadakan sepanjang bulan Mac ini.
Jom kita usha apa acara best yang disenaraikan di laman web rasmi pihak Tourism Malaysia ini:-
1) MALAYSIA FABULOUS FOOD HUNT VM2020 (1 Mac - 30 November 2020)
Malaysia Fabulous Food Hunt (MFFH) 2020 adalah perlumbaan makan-makan sajian di seluruh negara bertujuan mempromosikan lagi hidangan popular serta restoran makanan tradisional Malaysia.
MFFH ini akan dianjurkan di 5 zon berbeza iaitu Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak, manakala pertandingan akhir akan diadakan di Kuala Lumpur.
Pemenang Terbaik untuk setiap zon bakal menggondol hadiah lumayan dan bagi korang yang memang 'kaki makan' mungkin boleh sertai MFFH ini!
Tempat: Seluruh Malaysia
Penganjur: Red Adventure Sdn Bhd
Telefon: 03-2770 5355
2) FIESTA BELON UDARA PANAS PUTRAJAYA (1- 31 Mac 2020)
Fiesta belon udara panas Putrajaya kembali lagi tahun ini di Presint 2!
Puluhan belon udara pelbagai bentuk dan karakter bakal menghiasi langit Putrajaya dan inilah masanya untuk anda membawa anak-anak berseronok di sana ketika musim cuti persekolahan nanti.
Selain dapat menikmati pengalaman menaiki belon udara panas, pengunjung juga boleh bersantai di kawasan trak makanan serta menyertai aktiviti-aktiviti yang ditempatkan dalam zon-zon yang berbeza.
Jangan lupa untuk sertai kemuncak acara iaitu 'Night Glow' di mana belon udara panas itu akan menyala mengikut irama muzik berserta dengan pertunjukan bunga api pada waktu malam.
Tempat: Presint 2, Putrajaya
Penganjur: Perbadanan Putrajaya
Telefon: 03-88877008
3) RAPTOR WATCH (9-10 Mac 2020)
Raptor Watch merupakan aktiviti alam semulajadi yang terbesar di Malaysia di mana orang ramai berpeluang melihat puluhan ribu burung pemangsa di perkarangan Rumah Api Tanjung Tuan, Melaka.
Telah dianjurkan lebih dari 20 tahun, acara ini merupakan fenomena yang hanya berlaku setahun sekali bila mana burung-burung tersebut berhijrah dari kawasan sejuk ke kawasan yang lebih panas.
95 peratus daripada spesies burung pemangsa yang dapat dilihat ketika aktiviti itu ialah Helang Lebah, Helang Baza Berjambul, Helang Sewah, Alap-Alap Cina, Helang Merah dan Lang Baza Hitam.
Tempat: Tanjung Tuan, Melaka
Penganjur: Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS)
Telefon: 03-2287 9422
4) TAMAN NEGARA BIRD COUNT (13 - 15 Mac 2020)
Bagi penggemar dan pemerhati burung, korang wajib sertai Taman Negara Bird Count ini.
Ia merupakan acara tahunan yang diadakan bagi mengenal dan mengira ratusan spesies burung yang mendiami hutan hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu.
Selain penggemar burung, pemandu pelancongan di Taman Negara juga sering menjadikan acara itu bagi meningkatkan pengetahuan tentang spesies burung yang ada di situ sebagai persediaan untuk menghadapi kedatangan pelancong yang semakin bertambah.
Tempat : Kampung Kuala Tahan, Jerantut, Pahang
Penganjur : Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Pejabat Pahang
Telefon : 09-517 1111
5) SEMARAK MUZIUM 2020 @MSKOA (14 - 15 Mac 2020)
Bagi yang berminat dengan karya seni dan kraftangan masyarakat Orang Asli, mungkin korang boleh singgah ke Muzium Negara Kuala Lumpur.
Ini kerana di sana korang akan dapat melihat dengan lebih dekat cara kehidupan harian serta boleh menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan yang unik dan acara istimewa termasuk tenunan, arca, memasak, permainan tradisional dan jualan kraf tangan.
Program Semarak Muzium 2020 anjuran Muzium Seni Kraf Orang Asli atau singkatannya MSKOA ini telah memasuki tahun keempat penganjurannya.
Tempat: Laman Istana Satu, Muzium Negara
Penganjur : Jabatan Muzium Malaysia / Muzium Kraf Orang Asli
Telefon : 03-22671000
6) FESTIVAL KOTA KUALA KEDAH (18 - 21 March 2020)
Festival Kota Kuala Kedah bertujuan untuk mempromosikan warisan, seni dan budaya di Negeri Jelapang Padi itu.
Program ini selama 4 hari 3 malam ini bakal mempersembahkan budaya, permainan rakyat, pertandingan memancing dan banyak lagi.
Festival ini akan diadakan di Muzium Kota Kuala Kedah atau dikenali sebagai Kubu Kuala Kedah yang menjadi mercu tanda bersejarah dalam banyak sesi pertempuran sewaktu memperjuangkan kemerdekaan negeri berkenaan pada zaman penjajahan dahulu.
Tempat: Muzium Kota Kuala Kedah
Penganjur: Jabatan Muzium Malaysia / Muzium Kota Kuala Kedah
Telefon: 03-2267 1000
7) MINGGU SENI PULAU PINANG (24 - 31 Mac 2020)
Bagi pencinta seni dan budaya, korang wajib singgah ke Pulau Pinang untuk Penang Arts Week!
Pelbagai program kesenian dan budaya yang mengetengahkan seni halus, kontemporari, moden dan tradisional bakal dihimpunkan pada Minggu Seni Pulau Pinang dan buat pertama kalinya artis tempatan dan antarabangsa bakal bergabung mempamerkan hasil karya kreatif mereka untuk tontontan ramai.
Tempat: Penang
Penganjur : Pejabat Exco Pulau Pinang Bagi Pembangunan Pelancongan, Kesenian,
Budaya dan Warisan (PETACH)
Telefon: 04-650 5133
8) FESTIVAL SENI & BUDAYA KELANTAN (27 - 29 Mac 2020)
Masa untuk membuat percutian ke Pantai Timur pada bulan Mac ini!
Ini kerana korang berpeluang menyertai kemeriahan Festival Seni & Budaya Kelantan (KACF) yang bertemakan "Cerito Kito" atau bermaksud "Kisah Kita".
Festival berkenaan bakal mengetengahkan hasil kraf dan pertunjukan warisan tradisional seperti Wayang Kulit dan Dikir Barat, selain daripada persembahan dari selebriti tempatan.
Tempat: Stadium Dataran Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan
Penganjur: Pusat Maklumat Pelancong Kelantan
Telefon: 09-748 5534
9) PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (27 March - 05 April 2020)
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sememangnya suatu acara yang sangat dinanti-nantikan oleh si pencinta buku pada setiap tahun.
Pesta buku kali ini akan berlangsung selama 10 hari, bermula 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Pesta buku tahun ini bakal menjanjikan sesuatu kejutan yang lebih besar dan menarik memandangkan Kuala Lumpur baharu sahaja dinobatkan sebagai "World Book Capital" untuk tahun 2020 oleh UNESCO!
Tempat: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur
Masuk: Percuma
10) CABARAN TOWERTHON ANTARABANGSA MENARA KL (29 March 2020)
Bagi yang ingin menguji ketahanan fizikal dan mental, mungkin korang boleh mencabar diri dengan menyertai Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.
Ribuan peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai cabaran tersebut yang turut menawarkan hadiah lumayan untuk menawan puncak Menara KL dalam masa yang singkat.
Tempat: Menara Kuala Lumpur
Telefon: 03-2020 5448
11) PESTA KALIMARAN (31 Mac 2020)
Selain perayaan Pesta Keamatan yang diraikan secara besar-besaran di Sabah, Pesta Kalimaran iaitu perayaan tahunan bagi suku kaum Murut iaitu etnik ketiga terbesar di negeri itu.
Pesta Kalimaran merujuk kepada aktiviti pembuatan kraf tangan Murut yang dipercayai berasal daripada peristiwa legenda tersohor iaitu pengorbanan seorang gadis Murut, Ralaa yang mengorbankan dirinya untuk dijadikan benih padi ladang abangnya.
Sambutan pada tahun ini yang dijangka dihadiri lebih daripada 10,000 pengunjung tempatan dan luar daerah datang ke Sabah semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman unik berkenaan.
Tempat: Pusat Kebudayaan Murut, Tenom, Sabah
Penganjur: Lembaga Kebudayaan Sabah
Telefon: 088-258 762
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah