"Dickson Street" Tarikan Baharu Port Dickson, Dibuka April Depan

TARIKAN
February 10, 2020 - 11:54 AM


Bagi warga kota yang inginkan percutian pantai pada hujung minggu, antara yang paling dekat untuk dikunjungi pastinya Port Dickson, Negeri Sembilan atau lebih popular dipanggil PD.

Selain terkenal dengan kawasan pantai yang cantik dan menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai lokasi termasuk pelancong luar negara, ramai juga yang singgah ke PD semata-mata untuk merehatkan minda dan menikmati bermacam jenis makanan lazat di sana.

Kalau korang perasan, di PD ketika ini tiada lokasi strategik yang boleh menjadi tumpuan pengunjung membeli-belah di samping memberi peluang usahawan menjual pelbagai barangan bercirikan warisan budaya Negeri Sembilan.

Tetapi tak lama lagi, PD bakal membangunkan sebuah kawasan yang dinamakan "DICKSON STREET" bersebelahan Hotel D’Wharf.

Lokasi Dickson Street yang mempunyai kelebihan pemandangan tepi laut yang pastinya menambahkan lagi tarikan untuk pengunjung datang ke PD.

Dickson Street yang berkeluasan kira-kira 2 hektar bakal menempatkan 200 tapak perniagaan berukuran 10 x 10, iaitu berupa kedai kontena dan dilengkapi kemudahan serba moden.

Projek yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan April depan dengan kos anggaran RM4 juta turut menerapkan pelbagai jenis kebudayaan dan tradisi tempatan.

Sebanyak 120 premis akan menjual pelbagai jenis makanan tradisi dari 13 buah negeri dalam Malaysia. manakala 80 premis lagi akan menjual pakaian, cenderamata, kraftangan dan pelbagai jenis produk.

Sebuah pentas hiburan untuk persembahan kebudayaan, pertunjukan permainan tradisional seperti gasing, congkak dan persembahan muzik dari kumpulan buskers juga akan disediakan.

Diharap dengan adanya Dickson Street ini nanti, akan lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa bercuti ke PD serta dapat mengembalikan kegemilangannya seperti satu ketika dahulu.

Sumber: Berita Harian

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah