Wow, Hotel Terapung Pertama Di Indonesia Ni Rupanya Hampir Sebaya Dengan Kapal Titanic!
HOTELFebruary 04, 2021 - 06:08 PM
Mendapat jolokan sebagai 'Hotel Terapung Pertama Di Indonesia' -- tidak hairanlah Doulos Phos The Ship Hotel sering menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa setiap kali mereka bercuti ke Bintan, Kepulauan Riau di negara jiran.
Mata pastinya terpukau melihat sebuah kapal persiaran besar dan mewah yang dijadikan sebagai sebuah hotel penginapan bersama yang tersayang ataupun rakan-rakan.
Lebih menarik, kapal persiaran itu sudah pun berusia 105 tahun atau dua tahun lebih 'muda' daripada kapal ikonik, Titanic.
Ia dibuat di Newport News Shipbuilding and Dock Company yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 1914.
Mengikut sejarah, sebelum ia ditukar menjadi sebuah hotel, kapal persiaran itu pernah digunakan untuk membawa golongan bangsawan serta barang dagangan.
Ia juga pernah digunakan bagi menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ketika Perang Dunia Kedua.
Sejarah panjang kapal ini membuatkan nama Doulos Phos dicatatkan dalam Guinness World Records sebagai kapal penumpang tertua di dunia.
Saudagar berasal dari Singapura membeli kapal tersebut pada 2010 sebelum ia dilayarkan ke Bandar Bentan Telani (BBT) di Bintan.
Tidak seperti kapal persiaran lain, Doulos Phos tidak berlayar ke mana-mana dan ditambatkan di kawasan perairan eksklusif Lagoi.
Pengunjung boleh memilih untuk menginap di beberapa jenis bilik disediakan termasuklah Master Mariner Suite dan harganya juga tidak murah - caj bermula RM450 dikenakan.
Hotel dengan 104 bilik ini lengkap dengan kemudahan seperti hotel lain termasuk restoran, kolam renang, bar dan spa.
Malah pengunjung boleh bergambar ala Jack dan Rose dalam filem Titanic.
Sumber: Mstar
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah