Info Ringkas Travel Ke Palembang Indonesia

JALAN-JALAN
February 11, 2020 - 06:01 PM


Kota Palembang merupakan ibu kota Sumatra Selatan dan ia merupakan kota kedua terbesar di Sumatra selepas Medan. Dengan luas wilayah 400,61 kilometer, kota ini dikatakan mempunyai sekitar 2.5 juta orang penduduk pada tahun ini.

Jika diikutkan, Palembang ini merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan ia merupakan kota yang tertua ada di Indonesia iaitu dari abad ke-7. Kota ini pernah menjadi ibu kota Sriwijaya yang merupakan sebuah kerajaan Melayu yang pernah memerintah sebahagian dari Nusantara dan mereka ini dulunya menguasai laluan perdagangan utama terutamanya di Selat Melaka.

Kota Palembang turut dikenali sebagai ‘Bumi Sriwijaya’ selain nama jolokan yang diberikan oleh dunia barat iaitu ‘ Venice of the East ‘ disebabkan mempunyai banyak terusan (120 terusan) dan secara umumnya ia terpisah kepada dua bahagian oleh Sungai Musi iaitu Seberang Ulu dan Seberang Ilir dan ia disambungkan oleh Jembatan AMPERA yang merupakan salah satu ikon atau mercu tanda pelancongan di Palembang.

Seberang Ulu merupakan kawasan perumahan dan beberapa bangunan kerajaan manakala Seberang Ilir menempatkan bangunan komersil serta pusat sejarah Palembang.

Demografi Palembang

Majoriti penduduk di Palembang terdiri daripada masyarakat Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu yang telah disesuaikan dengan dialek setempat dan kini dikenali sebagai Bahasa Palembang dan menurut statistic; 91.8 % penduduk Palembang adalah beragama Islam diikuti oleh Buddha 3.4%, Kristian 3%, Katolik 1.5% dan Hindu.

Menariknya di Palembang ini, ia mempunyai beberapa tempat yang menjadi ciri khas satu – satu komuniti. Sebagai contoh, Kampung Kapitan yang menjadi wilayah khas komuniti TIonghua dan komuniti Arab yang bertebaran di Kampung Al Munawwar, Kampung Assegaf, Kuto Batu dan lain – lain.

Cara / Pengangkutan Ke dan Di Palembang

Menggunakan Pesawat

Lapangan terbang utama Palembang ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II yang dibuka pada tahun 2005. Sebelum itu, mereka menggunakan Lapangan Terbang Talang Betutu yang kini telah menjadi lapangan terbang tentera.

Dari Kuala Lumpur, ada 13 syarikat yang menawarkan penerbangan ke Palembang namun menurut pencarian kami, hanya AirAsia menawarkan penerbangan terus manakala syarikat lain seperti Malindo Air, Citilink, Scoot dan lain – lain akan membuat satu hentian di Jakarta.

Harga penerbangan ke Palembang adalah sekitar +/- RM 260 pergi balik.  (Harga boleh jadi lagi mahal, boleh jadi lagi murah, bergantung pada tempoh tempahan dibuat sebelum pelepasan).

Jika anda berada di Indonesia, banyak pilihan airline yang sediakan penerbangan domestik ke sini seperti Lion Air, Citilink, Batik Air, Sriwijaya Air dan Garuda Indonesia. Sebagai contoh; jika dari Jakarta; RM132.

Menggunakan Bas

Palembang dihubungkan dengan jaringan bas dari bandar – bandar lain di Sumatra seperti Padang, Pekanbaru, Medan, Lampung dan Jambi. Ke Jakarta pun boleh menggunakan feri dan laluan darat kerana baru – baru ini, ada sebuah lebuhraya yang telah disiapkan pada 2019 yang menghubungkan Jakarta dan Lampung.

Kalau nak cuba menaiki bas dari Jakarta ke Palembang, ada beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut dan apa yang membezakan antara satu sama lain adalah tempoh perjalanan.

Paling lama, 24 jam menggunakan Dokari Trans, paling cepat 12 jam menggunakan syarikat Lorena. Harga permulaan dari Rp240.000 (RM73).

Menggunakan Kereta Api

Kalau dari luar Sumatra, memang tiada kereta api, jika dari Sumatra, ada dari Bandar Lampung dan perkhidmatan mereka ada 6 waktu perjalanan iaitu antara 6 hingga 9 pagi atau 7 hingga 9 malam.

Stesyen kereta api yang utama di Palembang ialah Palembang – Kertapati atau disebut sebagai Kertapati, dua kilometer dari pusat bandar.

Transport Di Palembang

Di Palembang, ada disediakan pengangkutan awam seperti bas, angkot dan lain – lain. Tak digalakkan untuk memandu sendiri sebab keadaan traffic disana agak kucar kacir, sama seperti Jakarta.

Angkot atau Angkutan Kota ni mudah untuk dikenali dan biasanya ia seperti van dan lain – lain. Tambang sekitar Rp3,500 ke atas.

Bas TransMusi

Perkhidmatan bas (disebut bis) disana dikelolakan oleh TransMusi dan menyambungkan bandar – bandar utama di Palembang.

Jika tidak ada kenaikan, tambang adalah Rp 5,000 untuk perjalanan dua hala.

 

Menggunakan LRT

LRT di Palembang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Palembang dengan kawasan – kasawan lain di Palembang dan berakhir di Ogan Permata Indah.  Ada 12 perhentian kesemuanya dan mula dibuka seawal jam 6 pagi hingga 8.25 malam.

Harga :
 

Rp10.000 (kadar rata) untuk perjalanan bermula / berakhir di lapangan terbang.

Rp5.000 (kadar rata) untuk perjalanan yang tidak bermula atau berakhir di lapangan terbang.

Tarikan Menarik Di Palembang

Menurut senarai tarikan pelancongan terkini, ada 75 destinasi pelancongan kesemuanya di Palembang dan menurut kami, ia boleh dipecahkan kepada tradisi atau kesenian, makanan dan juga alam.

Candi Ki Gede Ing Suro

Antara yang menjadi perhatian semestinya Jembatan Ampera, Sungai Musi, Benteng Kuto Besak dan Masjid Sultan Mahmud Badaruddin I atau digelar Masjid Agung Palembang yang merupakan masjid terbesar di Kota Palembang dan banyak lagi tarikan – tarikan pelancongan yang menarik.

Oh untuk liputan internet, kami malas nak tukar - tukar simcard, nanti tercicir. Jadi kami dapatkan Poket Wifi dari Roaming Man. Setakat 3 hari kami di sana, tiada sebarang masalah. 


Terima kasih juga kami ucapkan kepada Tourism Palembang atas jemputan ke acara FAMTrip Musi & Beyond, Oriental Season Palembang 2020

Follow Akaun Rasmi Dinas Pariwisata Palembang Di : Website | Facebook | Instagram 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah