Menginap Di Backpackers Hostel Buat Pertama Kali? Pastikan Faham Etika Ini
HOTELAngkat tangan kalau korang terdiri daripada ‘kaki jalan’ yang lebih gemarkan hostel berbanding hotel? Kebiasaannya, sesiapa yang travel secara solo, backpackers atau travel bajet mesti memilih untuk menginap di hostel, tak kiralah ia berkonsep macam dorm, atau bilik individu.
Sebenarnya, pengalaman menginap di hostel atau dorm ni lagi best daripada korang menginap di hotel. Sebab satunya kalau korang jenis habiskan masa diluar, buat apa nak bayar hotel mahal-mahal betul tak? Kedua, korang akan jumpa dan kenal ramai traveller dari luar yang korang boleh bawak borak. Setidaknya, boleh bertukar-tukar pendapat.
Biasanya, bila kita tinggal di dorm atau hostel ni kan… ada beberapa perkara atau etika yang digunapakai oleh majoriti hostel. Sebagai seorang traveller, rasanya tak ada masalah untuk korang patuhi etika – etika ni. Sebab pada kami, tak guna kalau korang travel tapi mentaliti dan pemikiran dekat takuk sama.
Ada beberapa etika sebenarnya untuk korang ‘patuh’ sebagai bagpackers atau lebih senang nak faham, syarat – syarat atau undang-undang untuk menginap di backpackers hostel.
#1. Jangan Curi Makanan Orang
Kebiasaannya, kalau korang masuk ke backpackers hostel, akan ada pantry. Sama ada dia akan berada di satu tempat lain atau di bahagian ruang makan. Korang kena tahu dan faham, bukan semua makanan dekat situ kepunyaan hostel.
Maksudnya, masa korang masuk sila tanya atau biasanya ‘host’ akan bagitahu makanan mana atau minuman mana yang korang boleh guna dan mana yang orang lain punya. Jadi, kalau bukan korang punya, jangan makan atau sentuh okay?
#2. Teh, Kopi, Beras, Roti
Selalu, memang hostel akan sediakan bahan-bahan ini secara percuma ataupun complimentary. Jadi, korang boleh gunakan. Cuma, beringat dan jangan tamak. Makan sekadar isi perut. Bukan habiskan sebuku roti atau bawak lari roti ke air k eke dalam bilik korang. Ia untuk dikongsi, bukan ada hak eksklusif.
#3. Melakukan Hubungan Intim
Tolonglah. Kalau korang pasangan suami isteri, dan menginap di hostel janganlah lakukan hubungan intim. Rasanya korang faham lah hubungan macam mana kami maksudkan. Kalau nak jugak, hostel bukan tempat korang, sila ke hotel atau bermalam di Airbnb berdekatan.
#4. Kentut ‘Tak Cover’
Ia, faham. Kentut ni memang tak boleh jangka bila dia nak datang, tapi percayalah ia berbau. Jadi kalau korang ada rasa nak membuang angin tu, sila lah ke lokasi atau kawasan yang open air sikit. Ini tidak, dah la kongsi bilik empat orang, main lepas aje. Bau telur pulak tu! Wek!
#5. Penggunaan Lampu
Selalunyalah, setiap hostel ni ada ‘undang-undang’ tentang penggunaan lampu atau bahan hiburan yang ada dekat sana macam contoh board game, card ataupun tv. Sini kita fokuskan pada lampu ye.
Biasanya pengunaan lampu utama diterima sampai pukul 11 malam, selepas itu kalau nak guna jugak lampu, gunalah torchlight pada phone korang. Jangan nyalakan lampu dorm, tak menghormati penghuni lain yang mana tahu nak rehat sebab flight pagi dan sebagainya.
#6. Peraturan Selepas Pukul 9 pagi
Kalau korang jenis susah atau nak tidur sampai tengah hari, maaflah. Korang nampaknya kena tahan sebab biasanya lepas pukul 9, semua orang akan bangun untuk keluar dan ada agenda masing-masing.
Jangan tulis review buruk pulak kalau korang kena hadap situasi macam ni nanti.
#7. Peraturan Sebelum Pukul 9 Pagi
Sama jugak macam peraturan selepas 9 pagi, kalau korang ada aktiviti atau nak packing barang sebelum pukul 9 pagi, harap hormati waktu ‘senyap’ tersebut. Kalau ada flight pagi, kemaslah barang-barang malam sebelum.
Jangan ganggu waktu rehat atau tidur orang lain.
#8. Beg Plastik
Kalau korang ada beg plastik, pastikan ianya tak berbunyi atau minumkan penggunaan plastik tu supaya dia tak kacau ketenteraman orang lain. Sebabnya, dalam keadaan dorm yang sunyi, kecik, bunyi plastik ni sangat annoying. Jadi, kalau boleh elakkanlah. Kalau korang shopping, pastikan balik awal supaya bunyi geseran plastik tu tak mengganggu orang lain.
#9. Bercakap Telefon
Ini antara masalah utama atau biasa yang berlaku dekat hostel. Tapi, dari segi pemerhatian aku sebagai traveller yang suka bermalam dekat backpackers hostel. Tolong lah, ruang atau tempat tu bukan rumah korang. Jadi, tak ada orang nak dengar ‘drama’ korang dengan boyfriend ke, sembang bisnes juta-juta ke.
Carilah tempat yang terpencil atau keluar dari dorm untuk bercakap.
#10. Unpack Beg
Kalau korang ada bilik sendiri, tak kisah tapi kalau di dorm yang ruang nya berkongsi, almari bersebelahan dengan almari lain tolonglah jangan buat sepah atau punggah beg korang atas lantai. Ini tidak, situlah korang nak letak baju kotor, segala beg shopping dan sebagainya.
Lagi satu, jangan tumpang barang kita atas katil orang lain terutamanya baju kotor dan tuala. Jangan marah lah kalau tiba-tiba baju korang ke dalam tong sampah.
#11. Jadi Bertanggungjawab
Selepas pakai pinggan, cawan atau gunakan apa sahaja yang berkongsi dengan orang lain, tolong kemas. Hostel ni bukan hotel yang mana akan ada orang kemaskan. Sudu, garfu pinggan lepas guna silalah basuh sendiri dan letakkan dekat tempat yang korang ambil.
Kalau ada minuman tertumpah, lapkan. Dia tak akan bersih secara sendiri.
#12. Jangan Jadi Pengotor
Etika ni paling korang kena utamakan. Kalau korang jenis tinggal sampai berminggu dekat hostel, pastikan tukar atau mintak cadar baru, tuala baru dan jangan lupa bersihkan diri! Kita kadang-kadang tak sedar yang badan kita atau pakaian kita dah berbau, tapi pada orang lain… hapak kot.
#13. Penggunaan Laptop / Komputer
Ada sesetengah hostel akan sediakan komputer atau laptop untuk kegunaan traveller. Kalau nak guna, beringatlah. Jangan buat macam harta sendiri. Selesaikan hal penting korang sahaja macam contoh nak reply email, nak print tiket dan untuk tujuan cari maklumat.
Sekarang ni, telefon sendiri pun dah boleh guna dah. Jangan kedekut sangat nak belanjakan duit untuk beli simcard antarabangsa atau sewa pocket wifi kalau tahu korang tu tak boleh hidup tanpa internet.
#14. Berhati-Hati
Ini paling utama. Pastikan korang sentiasa berhati-hati, berwaspada setiap masa. Baik dari segi keselamatan diri mahupun barang-barangan peribadi macam handphone, laptop, camera dan sebagainya.
Walaupun keluar sekejap, pastikan simpan semua barangan berharga dalam ruang penyimpanan yang disediakan dan kunci.
Nota Editor : Kalau travel memang suka pilih hostel atau airbnb. Sebab pengalaman yang korang dapat tu sangat best berbanding stay dekat hotel. Ringankan mulut ajak orang bersembang. Mana tahu, diorang jumpa tempat best.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah